PIBG, alumni pastikan sekolah tidak keseorangan

Banyamin (kanan) turut berbangga dengan kejayaan anaknya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM tahun 2023 di SMKA Sultan Azlan Shah.
Banyamin (kanan) turut berbangga dengan kejayaan anaknya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM tahun 2023 di SMKA Sultan Azlan Shah.
A
A
A

IPOH - Kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar mengungguli sekolah terbaik di Perak dan menjadi antara 20 sekolah terbaik di Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 hasil sokongan kuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan alumni sekolah berkenaan.

Pengerusi PIBG SMKA Sultan Azlan Shah, Banyamin Rabiee berkata, pihaknya bersama-sama Pertubuhan Alumni SMKA Sultan Azlan Shah (Alumni ASASIANS) sentiasa bersama pihak sekolah memenuhi permintaan dari segala aspek.

Menurutnya, kekuatan itu yang membolehkan SMKA Sultan Azlan Shah terus menjadi sekolah terbaik bukan sahaja di Perak tetapi di Malaysia.

"Di SMKA Sultan Azlan Shah, PIBG dan alumni kami bergerak seiring. Alumni kami ada di serata pelosok negara di tempat-tempat strategik yang membolehkan mereka menyumbang idea, tenaga dan kewangan untuk membantu pihak sekolah. Terima kasih buat Presiden Alumni ASASIANS, Profesor Dr Alwi Mohd Yunus yang bertungkus-lumus membantu sekolah.

"Jadi ini membolehkan pihak sekolah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan anak-anak kerana segala keperluan tambahan akan diuruskan bersama oleh PIBG dan alumni," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Banyamin berkata, budaya kerja guru-guru juga menyumbang kepada kejayaan membanggakan pihak sekolah kerana mereka gigih berusaha memastikan pelajar mendapat pembelajaran yang maksimum.

Jelasnya, begitu juga dengan pelajar yang sanggup mengorbankan cuti mereka dengan belajar dan mengikuti semua program disediakan oleh pihak sekolah.

Begitu juga ibu bapa yang sangat membantu menyokong apa sahaja usaha dilakukan pihak sekolah walaupun terpaksa membayar satu jumlah yang besar demi kepentingan anak.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa pelajar tidak langsung berkira dalam memberikan sokongan begitu juga guru-guru yang sanggup tidak cuti sekolah untuk buat kelas tambahan. Paling penting adalah perancangan yang dibuat Pengetua Cemerlang, Taufik Suhaimi Ahmad.

"Kami bersama alumni tidak akan membiarkan sekolah berseorangan dan hasilnya keputusan SPM tahun 2023 mencatatkan keputusan terbaik sepanjang penubuhan sekolah ini," katanya.

Untuk rekod, SMKA Sultan Azlan Shah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.45 dengan 25 calon memperoleh semua A pada peperiksaan SPM tahun 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!