JKDM kekang, jualan, edaran dagangan seludup bernilai RM1.98 juta
KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mengekang penjualan dan pengedaran pelbagai dagangan seludup apabila berjaya menghasilkan 54 kes dengan nilai termasuk cukai sebanyak RM1.98 juta.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kejayaan itu hasil Operasi Palang Timur dan Operasi Makmur III Tahun 2024 yang dilakukan secara serentak serta bersepadu oleh JKDM Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) bermula 2 hingga 31 Mei.
"Tumpuan kedua-dua operasi ini adalah sepanjang pesisir jalan laut dari Tumpat, Kelantan sehingga ke Pulau Perhentian serta Pantai Merang,Terengganu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, sepanjang operasi itu kejayaan terbesar yang direkodkan melibatkan rampasan daging khinzir sejuk beku sebanyak 17.8 kilogram (kg) dengan nilai barang termasuk cukai berjumlah RM452,858.
Katanya, rampasan rokok seludup mencatatkan kes terbanyak apabila menghasilkan 36 kes yang dihasilkan atau 242,148 batang rokok dengan jumlah nilai termasuk cukai sebanyak RM213,948.03.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, lain-lain barang yang dirampas adalah minyak diesel sebanyak 7,000 liter, minuman keras, ayam sejuk beku, beras dan kenderaan klon dengan jumlah nilai dan cukai sebanyak RM261,153.52.
Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, JKDM berjaya menggagalkan cubaan pengedaran 2.73 juta batang rokok di dalam lima kes yang berasingan dengan nilai berjumlah RM532,104.80 yang terlibat cukai sebanyak RM2,289,356.68.
Katanya, rampasan itu hasi operasi bersepadu yang dijalankan oleh COBRA, Pasukan Cawangan Siasatan Khas (CSK) Ibu Pejabat Kastam bersama Bahagian Operasi Bersepadu, National Finance Crime Center (NFCC), Jabatan Perdana Menteri di sekitar Seberang Perai dan Butterworth, Pulau Pinang.
"Antara modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk dagangan tersebut dari negara jiran melalui Sungai Golok atau pesisir pantai menggunakan sampan dan dimuatkan menggunakan kenderaan samada lori atau kereta untuk diedarkan kepada peruncit tempatan, daging khinzir sejuk beku pula adalah untuk pasaran pantai barat Semenanjung Malaysia," katanya.
Menurut beliau, modus operandi yang digunakan bagi kes hasil operasi di sekitar Seberang Prai dan Butterworth adalah membawa masuk dagangan melalui pintu masuk atau melalui pelabuhan secara pengikraran yang tidak betul untuk diedarkan ke pasaran tempatan, terutamanya Semenanjung Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!