[VIDEO] Melaka 'Bila Larut Malam' tarik lebih 4,000 pengunjung

A
A
A

MELAKA - Program 'Melaka Bila Larut Malam' yang pertama kali direalisasikan kerajaan negeri berjaya menarik 4,120 pengunjung dari pelbagai negeri ke Zoo Melaka pada malam Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati seawal jam 8 malam, orang ramai telah mula membanjiri pekarangan Zoo Melaka untuk membuat bayaran tiket serendah RM10 seorang berbanding harga biasa mencecah lebih RM30.

Malah dalam tempoh 30 minit selepas kaunter tiket dibuka, lebih 500 tiket telah terjual sempena sambutan itu.

Orang ramai beratur untuk membeli tiket masuk Zoo Melaka seawal jam 8 malam.
Orang ramai beratur untuk membeli tiket masuk Zoo Melaka seawal jam 8 malam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, memandangkan sambutan yang diterima memberangsangkan pihak pengurusan mengambil keputusan membuka pintu masuk seawal jam 9.40 malam bagi mengelakkan orang ramai menunggu lebih lama.

Rais (kanan) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir memeriahkan program itu.
Rais (kanan) beramah mesra dengan pengunjung yang hadir memeriahkan program itu.

"Kita melihat pengunjung yang datang dari pelbagai negeri bukan sahaja di dalam Melaka malah ada kanak-kanak dan juga warga emas.

"Atas keprihatinan ini, kita membenarkan pengunjung masuk lebih awal berbanding yang dijadualkan iaitu pada jam 10 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron dan Pengarah Zoo Melaka Zanariah Khamis.

Sementara itu, pengunjung dari Kajang Selangor, Noor Aziati Kamaruddin,43, berkata, dia empat beranak termasuk dua anaknya berusia enam dan tujuh tahun mengambil peluang ke Zoo Melaka setelah mengetahui promosi harga tiket semurah RM10 seorang.

Gajah antara tarikan pengunjung pada pelaksanaan program itu.
Gajah antara tarikan pengunjung pada pelaksanaan program itu.

Menurutnya, lebih teruja apabila pertama kali ke lokasi pelancongan itu dengan panorama malam yang memukau.

"Sebelum ini pernah beberapa kali nak ke Zoo Melaka tapi orang ramai, namun dengan harga tiket yang murah lagi bersemangat nak berkunjung ke Zoo Melaka," katanya yang merupakan suri rumah.

Bagi Nizam Yusof, 54, dari Bakri, Muar Johor pula berkata, biarpun penginapan mereka sekeluarga di Pengkalan Balak jauh dari Zoo Melaka, namun jarak bukan penghalang untuk dia berkunjung ke destinasi berkenaan.

Rais (tengah) menyerahkan cenderamata kepada pengunjung terawal Zoo Melaka.
Rais (tengah) menyerahkan cenderamata kepada pengunjung terawal Zoo Melaka.

"Apa yang dilakukan Melaka ini memang bagus dan kalau boleh kerap kali diadakan agar orang boleh melancong dengan cara lebih berjimat," katanya yang bekerja sendiri.

Pada program itu pengunjung berpeluang melihat sebanyak 200 ekor haiwan daripada 20 spesies haiwan nokturnal iaitu spesies yang aktif pada waktu malam seperti gajah, burung hantu dan zirafah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!