Belum ada tangkapan lain selepas ibu bapa Zayn Rayyan direman - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SETIU - Polis mengesahkan belum ada tangkapan lain dilakukan susulan penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan ke atas kedua-dua suspek yang ditahan itu sedang dijalankan polis Selangor.

"Kita sudah reman tujuh hari dan bagi kepada polis Selangor untuk menyiasat. Buat masa ini belum ada tangkapan lain," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala Ketua Polis Negara 2024 Sempena Hari Polis Ke-217 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini pada Ahad.

Razarudin (kiri) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala Ketua Polis Negara 2024 Sempena Hari Polis Ke-217 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di Setiu.
Razarudin (kiri) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala Ketua Polis Negara 2024 Sempena Hari Polis Ke-217 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di Setiu.

Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di sekitar kawasan Puncak Alam kira-kira jam 11 pagi Jumaat sebelum direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

Majistret, Majistret Ainaa Muhammad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai sekitar jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!