Rakyat Israel gesa Netanyahu terima perjanjian dicadang Biden
RIBUAN warga Israel bersama keluarga tebusan menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk menerima perjanjian yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Mereka menggesa Netanyahu menyokong cadangan yang dianggap bermula dari Israel, yang diumumkan oleh Biden secara terbuka itu.
Salah seorang waris tebusan Eyal Kalderon menyeru agar Netanyahu menerima perjanjian berkenaan yang merupakan perjanjian awal dari Israel.
“Semalam, Biden, dengan ucapannya telah memberi kami keluarga sedikit harapan yang hilang selama beberapa hari.
"Dan kami berada di sini untuk satu sebab iaitu untuk mengatakan kepada Netanyahu, kepada Perdana Menteri, kami menuntut agar anda menerima perjanjian ini, perjanjian yang anda cadangkan kepada Hamas dan yang anda cadangkan kepada Qatar.
“Kita mesti memeterai perjanjian ini dan membawa mereka pulang dengan segera. Kita tidak ada masa lagi. Anda (Netanyahu) mesti melakukan segala-galanya. Masuk ke bilik rundingan dan lakukan segala-galanya untuk memeterai perjanjian ini,” rayu Kalderon yang turut serta dalam protes berkenaan.
Pengantara konflik Gaza pada Sabtu menggesa Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang digariskan oleh Biden.
Israel bertegas tidak akan mengakhiri perang selagi Hamas masih berkuasa.
Netanyahu mengeluarkan kenyataan pada Sabtu bahawa Israel tidak mungkin akan menerima gencatan senjata kekal sebelum keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas dihapuskan.
Manakala, Hamas meminta langkah konkrit Israel untuk menamatkan perang, seperti pengunduran penuh tentera Israel dari Palestin. - Agensi/Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!