Puad bidas Tony Pua bawa hujah hipokrit
SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dibidas kerana tiba-tiba sahaja muncul bagi membawa hujah hipokrit untuk membela salah seorang pemimpin DAP, Hannah Yeoh.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, isu membabitkan Hannah adalah berkait tata kelola, konflik kepentingan dan pilih kasih dari segi penyiasatan.
“Sebab itu perlu disiasat. Kenapa siasatan pun jadi satu masalah? Itu yang menyebabkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dikutuk. Kealiman dan pengaruh kecil bukan jaminan seseorang itu suci bersih.
“Tony Pua kata Hannah mangsa persepsi. Apakah Shahrizat (bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil) dan suaminya bukan mangsa persepsi selama 12 tahun? Mahkamah (akhirnya) putuskan mereka tidak bersalah.
“Menurutnya syarikat milik suami Hannah adalah syarikat yang berprestasi dan ada pengalaman. Apakah prestasi tiket untuk menolak amalan tata kelola?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Kenyataan Puad itu dipercayai susulan tindakan Tony Pua menegur mereka yang mengkritik Menteri Belia dan Sukan tersebut berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat yang dikaitkan dengan suaminya.
Beliau juga turut menegur pihak yang membandingkan kes Hannah dengan National Feedlot Corporation (NFC) dikaitkan dengan Shahrizat.
Puad juga membangkitkan soal konflik kepentingan memandangkan Hannah adalah orang kuat DAP.
“Exco yang meluluskan daripada DAP. Apakah tidak mungkin dengan satu mesej ‘pm tepi’, konflik kepentingan tidak boleh berlaku?
“Mujur Tony Pua tidak lama dalam Kementerian Kewangan dan jadi orang berpengaruh di situ. Mungkin akan banyak hipokrasi berlaku atas nama prestasi dan kealiman,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!