Kantoi sedut keluar bahan api dari tangki bawah tanah jam 5 pagi

Pasukan petugas KPDN memeriksa sebuah lori tangki yang dipercayai cuba menyeleweng bahan api bersubsidi negara semasa diserbu di sebuah stesen minyak di sekitar Shah Alam, Selangor pada Jumaat. Foto KPDN
Pasukan petugas KPDN memeriksa sebuah lori tangki yang dipercayai cuba menyeleweng bahan api bersubsidi negara semasa diserbu di sebuah stesen minyak di sekitar Shah Alam, Selangor pada Jumaat. Foto KPDN
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mencurigakan sebuah lori tangki pada awal pagi di sebuah stesen minyak di sini akhirnya terbongkar apabila dipercayai cuba menyeleweng bahan bersubsidi negara.

Difahamkan, individu terbabit menyedut keluar bahan api jenis diesel secara terus dari tangki bawah tanah sebuah stesen minyak yang beroperasi.

Aktiviti itu bagaimanapun dikesan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyerahkan kes tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkusaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pihak PDRM melakukan serbuan kira-kira jam 5 pagi Jumaat di sebuah stesen minyak terletak di sekitar Shah Alam.

Beliau berkata, bahan api yang disedut keluar secara terus dari tangki bahan api di bawah tanah kemudiannya dipindahkan ke dalam badan lori tangki terlibat.

Contoh imej tangki bahan api yang disimpan di bawah tanah stesen minyak.
Contoh imej tangki bahan api yang disimpan di bawah tanah stesen minyak.

Kata beliau, PDRM berjaya menghentikan aktiviti menyedut bahan api tersebut setelah mengesan wujudnya aktiviti mencurigakan yang melibatkan bahan api jenis diesel.

"Hasil serbuan PDRM itu telah diserahkan kepada KPDN Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, selaras dengan peruntukan kuasa di bawah Seksyen 10(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Empat individu ditahan dalam serbuan tersebut, tiga daripadanya adalah warga tempatan yang merupakan pemilik stesen berusia 50-an, pemandu lori tangki (30-an) serta seorang kelindan lori (30-an).

"Seorang lelaki bukan warganegara yang ditahan dalam serbuan itu merupakan pekerja stesen minyak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Shahran berkata, kesemua yang ditahan dirakam percakapan bagi tujuan siasatan.

Menurut beliau, tindakan sitaan melibatkan sebuah lori tangki bersama badan lori yang berisi bahan api disyaki diesel serta peralatan lain seperti 'motor pump' dan hos penyambung disyaki digunakan dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah.

Selain itu katanya, sitaan turut membabitkan tangki bahan api berada di bawah tanah stesen minyak dan 'pump island' yang terlibat dengan pembekalan daripada tangki bahan api di bawah tanah.

Tambahnya, keseluruhan bahan api disyaki diesel yang dirampas melibatkan kenderaan dan tangki bahan api di dalam tanah stesen minyak dianggarkan mencecah lebih 50,000 liter.

Jelasnya lagi, nilai subsidi berjaya diselamatkan daripada aktiviti disyaki menyeleweng itu dianggarkan mencecah lebih RM100,000.

Katanya lagi, anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah lebih RM200,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!