[VIDEO] PRK Sungai Bakap: PKR Pulau Pinang hantar senarai nama calon
NIBONG TEBAL - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menghantar senarai nama calon berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid berkata, senarai nama tiga hingga lima calon itu dicadangkan oleh pimpinan di peringkat Cabang Nibong Tebal untuk diperhalusi.
Menurutnya, calon-calon yang disenarai pendek itu berusia antara 30 hingga 60 tahun termasuk anak tempatan di kawasan Sungai Bakap.
"Kita menerima cadangan-cadangan dari peringkat cabang dan menyenarai pendek nama-nama yang berpotensi untuk diangkat menjadi calon pada PRK Sungai Bakap nanti.
"Senarai pendek kita hantar untuk perhatian peringkat atasan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan sebelum diputuskan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad
Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 hadir pada sidang akhbar mengenai projek mitigasi banjir DUN Sungai Bakap di Jawi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pimpinan UMNO di negeri ini yang mahu Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada parti itu bertanding pada PRK Sungai Bakap kali ini, Mohamad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk PH bertanding dan akan menyokong calon akan ditentukan nanti.
Malah katanya, Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol turut menyatakan sebelum ini kerusi akan ditandingi oleh calon dari PKR berdasarkan kepada PRN yang lalu.
"Daripada kenyataan dua pimpinan UMNO itu jelas mereka memberikan laluan kepada calon PH yang akan bertanding pada PRK kali ini.
"Pada malam ini saya akan bertemu dengan semua 16 pimpinan UMNO cawangan Nibong Tebal untuk memberi taklimat dan gerak kerja kita.
"Apa boleh saya katakan dari segi perpaduan kita dah ada dan sekarang kita sedang menyusun gerak kerja untuk memastikan kerusi Sungai Bakap ini dapat dirampas semula," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!