[VIDEO] Bekas Datuk Bandar Johor Bahru didakwa terima rasuah RM1.55 juta

A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Datuk Bandar Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1.55 juta antara 2020 hingga 2021.

Bagaimanapun, tertuduh Datuk Adib Azhari Daud, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menerima rasuah dengan nilai antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu melalui seorang pengantara.

Ia sebagai upah bagi mendapatkan pelbagai projek kontraktor, membabitkan kerja penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir Sungai Sungkuang, kerja ganti paip, penyelenggaraan pembetungan awam paip serta kerja mengatasi tebing runtuh.

Adib Azhari (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1.55 juta.
Adib Azhari (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 12 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1.55 juta.

Selain itu, ia juga membabitkan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta menebang pokok di dalam kawasan MBJB.

Perbuatan itu dibuat antara 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021 di dalam Jalan Serama 7, Larkin Johor Bahru.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM120,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Selain itu, tertuduh juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu serta mendekati saksi.

Tarikh 3 Julai depan ditetapkan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!