Keluarga nafi Muhammad Hamizan ada berselisih faham, berhutang
JOHOR BAHRU – Keluarga kepada Muhammad Hamizan Ramli, 33, yang dilaporkan hilang sejak 18 Mei lalu menafikan lelaki berkenaan ada bermusuh atau berhutang dengan sesiapa yang mungkin boleh dikaitkan dengan kehilangannya itu.
Menurut abangnya, Muhammad Haziq Ramli, 34, Muhammad Hamizan yang belum berumahtangga juga tidak ada menunjukkan apa-apa perubahan tingkah laku ketika mereka sekeluarga berkumpul di Kota Tinggi bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bulan lalu.
Malah katanya, sehari sebelum kehilangannya, Muhammad Hamizan yang bekerja sebagai jurutera projek di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang masih sempat berbalas mesej WhatsApp dengan rakan baiknya yang pulang ke kampung untuk segera pulang ke bilik sewa mereka di Bandar Penawar.
“Hamizan merupakan anak kedua daripada empat beradik. Dia seorang yang baik dan agak pendiam, kehilangannya kali ini betul-betul menghairankan kami sekeluarga.
“Ini kali pertama dia ‘hilang,’ tak tahu sebab apa...setahu saya memang dia tak ada perselisihan faham antara dia dengan kawan-kawan atau dengan adik beradik.
“Saya sudah buat laporan di Balai Polis Bandar Penawar mengenai kehilangannya dan berharap agar ada perkembangan terkini mengenai kehilangan adik saya itu,” katanya.
Untuk rekod, berita mengenai kehilangan Muhammad Hamizan mula tular di media sosial terutamanya di laman Facebook Orang Kota Tinggi.
Pihak syarikat tempatnya bekerja juga ada cuba menghubunginya, namun dia gagal dihubungi.
Tambah Muhammad Haziq, dia juga telah ke bilik sewa Muhammad Hamizan di Taman Desaru Utama dan mendapati kesemua barangan peribadinya seperti komputer riba serta pakaian masih ada di bilik sewa tersebut.
Katanya, kereta Muhammad Hamizan jenis Proton Saga FLX dengan nombor pendaftaran JQB 7433 berwarna merah turut hilang dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, bapa saudara Muhammad Hamizan, Alwee Osman, 52, berkata, anak saudaranya itu sempat menghubungi ibunya seminggu sebelum kehilangannya.
“Diharapkan semoga perkara ini (kehilangan) dapat diselesaikan segara dan dia ditemui dengan selamat,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan laporan polis berhubung perkara berkenaan dibuat oleh abang mangsa pada 23 Mei lalu.
Katanya, kes kini disiasat dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan sehingga kini mangsa masih belum dapat dihubungi atau ditemui.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!