Ivan Mamut kembali ke Terengganu esok

Ivan Mamut - Foto: TFC
Ivan Mamut - Foto: TFC
A
A
A

PENYOKONG Terengganu FC (TFC) mungkin boleh menarik nafas lega apabila penyerang import utama, Ivan Mamut kembali ke bumi Darul Iman esok.

Setelah hampir dua bulan berehat dan terlepas tiga perlawanan Liga Super akibat kecederaan, kepulangan bintang kelahiran Crotia itu pastinya menggembirakan peminat skuad Penyu yang rindu dengan aksi dan ketajaman penyudahnya.

Pengarah Sukan TFC, Zul Fadli Rozi berkata, pemain berusia 27 tahun itu telah selesai menjalani rawatan bersama pakar di Croatia dan akan kembali ke Terengganu esok.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh pasukan perubatan TFC bagi memastikan Mamut sudah bersedia menjalani latihan penuh bersama rakan lain.

"Ivan Mamut dalam proses penyembuhan akibat kecederaan tendon Achilles kiri yang dialaminya ketika perlawanan pramusim.

"Setibanya di sini, pasukan perubatan kita akan membuat penilaian sama ada beliau sudah cukup sihat untuk menjalani latihan penuh atau perlu meneruskan rawatan pemulihan," katanya dalam kenyataan di Facebook TFC hari ini.

Zul Fadli berkata, skuad itu amat memerlukan kepakaran Mamut bagi memperkuat jentera serangan dalam mengharungi perlawanan Liga Super dan Piala FA yang dijadualkan bermula 14 Jun ini.

Sehubungan itu, beliau meminta penyokong supaya mendoakan pemain tersebut diberi kesembuhan dan dapat segera turun beraksi.

Artikel Berkaitan:

TFC memulakan saingan Liga Super dengan cemerlang apabila menang dua dan seri satu perlawanan dalam tiga aksi awal menentang Perak FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Penang FC untuk berada di tempat kedua dengan kutipan tujuh mata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!