Qatar, Mesir dan AS gesa Israel, Hamas muktamad cadangan gencatan senjata
ISTANBUL - Pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata yang berkekalan, lapor Agensi Anadolu.
"Sebagai pengantara dalam perbincangan berterusan untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tawanan serta tahanan, Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir bersama-sama menyeru Hamas dan Israel untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh Presiden (Joe) Biden,” menurut Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu, memetik ucapan Biden pada Jumaat malam mengenai cadangan perjanjian itu.
"Prinsip-prinsip ini menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan dan akan membawa kelegaan segera kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita serta tawanan dan keluarga mereka,” tambah kenyataan itu.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa "perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.”
Biden pada Jumaat berkata, bahawa Israel telah mengemukakan kepada Hamas, satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.
Beliau merayu kepada Hamas untuk menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menahan diri daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.
Pejabat Netanyahu pada Jumaat mengulangi hasratnya untuk meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga mencapai semua matlamatnya, menurut Anadolu.
Hamas berkata ia akan "bertindak balas secara positif terhadap sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya dari Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan penduduk kehilangan tempat tinggal dan penyelesaian perjanjian pertukaran tawanan yang komprehensif", tambahnya.
Lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan serangannya pada 7 Oktober tahun lepas.
Kebanyakan penduduk yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak dengan lebih 82,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!