Piala ADUN Sungai Tua cungkil bakat baharu sukan badminton
[DIKEMAS KINI] KEJOHANAN Badminton Piala ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari yang berlangsung pada Ahad menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Selangor, Muadzam Mohamed Shariff berkata, kejohanan edisi ketiga itu terbuka kepada semua peserta menonjolkan kemahiran dan kualiti permainan untuk berjaya di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, kejohanan sosial yang dianjurkan di Parlimen Gombak dilihat berjaya membangunkan sukan badminton dan mencungkil bakat baharu hingga terpilih menjadi pemain negara.
"Pemain perseorangan lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang berasal dari Gombak pernah menjuarai kejohanan Piala DUN Hulu Kelang yang dianjurkan pada 2017.
"Selain itu, pemain perseorangan wanita negara iaitu Siti Nurshuhaini Azman juga pernah menyertai kejohanan sosial yang dianjurkan di Parlimen Gombak.
"Sasaran kita untuk semarakkan perpaduan melalui sukan, selain dapat melihat bakat muda dari kejohanan sosial menjadi pemain negara," katanya pada Ahad.
Beliau mewakili Amirudin merasmikan gimik perasmian kejohanan di gelanggang badminton Sinamax, Taman Sri Gombak yang turut dihadiri bekas pemain kebangsaan, Aidil Sholeh.
Program bermula jam 9 pagi itu dibahagikan kepada tiga kategori yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM16, 000.
Hampir 350 peserta memeriahkan acara membabitkan 96 pasukan beregu lelaki manakala beregu campuran sebanyak 42 pasukan dan 64 pemain bagi perseorangan lelaki.
Muadzam yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Gombak berkata, pihaknya dan Pejabat Belia dan Sukan bersetuju untuk mewujudkan persatuan badminton peringkat daerah berkenaan.
"Setakat ini, Gombak mempunyai pemain bola sepak kategori semi profesional, badminton juga ada potensi baik melalui anak muda di sini.
"Kita akan kenal pasti pemain terbaik dan berpotensi daripada pihak penganjur.
"Kita memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk wakil rakyat untuk membangunkan sukan badminton yang dilihat merupakan sukan utama selain bola sepak," katanya.
Kejohanan dianjurkan Kelab Badminton Dinamik dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua serta mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Gombak.
Penaja utama bagi kejohanan ini terdiri Sri Utara Holdings (M) Sdn Bhd dan Sri Maju Cergas Logistics serta Maxbolt.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!