OKU cemerlang SPM sebak dapat perhatian Perdana Menteri
PASIR PUTEH - Pelajar orang kurang upaya (OKU) fizikal, Raja Amirul Mukmin Raja Safari sebak apabila keputusan 8A 1B yang diperoleh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Raja Amirul Mukmin dari Kampung Gong Manok, Semerak itu menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan yang diserahkan oleh Zainuddin Ghazali yang mewakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Saipul Bahari Ab Manaf dan Pengetua Sekolah Menengah Sains Machang, Muhammad Daud.
Raja Amirul Mukmin ketika ditemui pemberita meluahkan rasa syukur dan gembira atas keperihatinan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.
"Saya tidak menyangka kecemerlangan ini mendapat perhatian daripada pemimpin nombor satu negara. Ini merupakan satu anugerah yang tidak terhitung nilainya," katanya.
Menurutnya, kecacatan pada tangan kirinya itu tidak pernah menjadi halangan serta kekurangan kepadanya untuk mencipta kejayaan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu nekad mengubah nasib keluarga dengan membantu bapanya, Raja Safari Raja Ibrahim, 43, yang hanya bekerja mengambil upah mencuci kereta pada siang hari dan menjadi pengawal keselamatan sebelah malamnya.
"Dengan keputusan cemerlang ini saya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia dan mengejar cita-cita untuk menjadi jurutera.
"Hanya dengan cara ini saya dapat mengubah nasib keluarga serta menjadi contoh kepada dua lagi adik yang berusia tujuh dan 12 tahun," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Raja Amirul Mukmin pernah tinggal di dalam reban ayam, namun tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai halangan sebaliknya berjaya meraih 8A, 1B dalam peperiksaan SPM 2023.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!