Hobi bela burung kakak tua mampu tarik pelancong

Ahli persatuan melepaskan burung masing-masing ketika Perasmian Persatuan Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.
Ahli persatuan melepaskan burung masing-masing ketika Perasmian Persatuan Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mahu menjadikan aktiviti memelihara burung kakak tua sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri itu.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pihaknya melihat potensi dari sudut eko-pelancongan kerana pemilik burung kakak tua akan membawa burung masing-masing untuk diterbangkan secara bebas di kawasan tertentu terutama persekitaran alam semula jadi.

Menurutnya, aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mempromosikan tempat-tempat eko-pelancongan yang ada di negeri ini.

"Kita mempunyai liputan hutan yang luas. Jadi peminat burung kakak tua ini bukan sahaja di Perak tetapi di seluruh negara. Kita harap mereka datang ke negeri Perak untuk sama-sama dalam aktiviti ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Persatuan Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.

Sze Yee berkata, sehubungan itu pada hujung tahun ini akan diadakan satu program khas menghimpunkan peminat burung tersebut secara besar-besaran.

Menurutnya, program tersebut sudah pun dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Negeri Perak.

Sementara itu, Penaung Persatuan Burung Kakak Tua Perak, Rozamir Zulkifli berkata, persatuan tersebut julung kali ditubuhkan bertujuan mengumpulkan peminat-peminat haiwan tersebut.

Menurutnya, komuniti peminat burung kakak tua itu memang sudah lama wujud namun dengan wujudnya persatuan, ia akan menjadi platform untuk merancakkan lagi aktiviti.

Artikel Berkaitan:

Sze Yee (empat dari kanan) bersama salah satu burung kakak tua ketika menyempurnakan Perasmian Persatuan Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.
Sze Yee (empat dari kanan) bersama salah satu burung kakak tua ketika menyempurnakan Perasmian Persatuan Kakak Tua Perak di Iskandar Polo di sini pada Ahad.

"Persatuan ini diwujudkan sebagai tanda kasih sayang terhadap haiwan kerana bukan sesuatu yang mudah untuk memelihara haiwan ini kerana perlu ada lesen.

"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja peminat burung kakak tua untuk menyertai persatuan," katanya.

Jelasnya, setakat ini seramai 150 ahli yang berdaftar dengan persatuan berkenaan dan jumlah tersebut dijangka bertambah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!