Pelajar sekolah, IPT ditahan merempit

Sebahagian individu yang ditahan untuk diperiksa dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh, di sini pada Ahad. Foto PDRM Ipoh
Sebahagian individu yang ditahan untuk diperiksa dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh, di sini pada Ahad. Foto PDRM Ipoh
A
A
A

IPOH - Pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) antara individu yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi tersebut dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melibatkan seramai 53 pegawai dan anggota polis, 16 sukarelawan polis serta enam pegawai AADK Perak.

Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 112 motosikal dan 110 individu berusia di antara 14 hingga 36 tahun telah diperiksa.

"Daripada keseluruhan individu yang diperiksa, terdapat juga sebilangan individu merupakan pelajar sekolah menengah serta pelajar IPT awam dan swasta.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dibuat, pihak polis berjaya mengesan beberapa kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mereka yang diperiksa dalam lingkungan usia 14 hingga 36 tahun ketika Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh di sini pada Ahad. Foto PDRM Ipoh
Mereka yang diperiksa dalam lingkungan usia 14 hingga 36 tahun ketika Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh di sini pada Ahad. Foto PDRM Ipoh

Abang Zainal Abidin berkata, sebanyak 26 motosikal telah disita atas kesalahan pengubahsuaian pelbagai aksesori atau struktur kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, seramai empat individu juga turut ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 257 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di dalam operasi terbabit.

Bagaimanapun pemeriksaan air kencing ke atas beberapa individu yang ditahan menunjukkan kesemua mereka negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

"Kita akan terus menjalankan operasi bersepadu ini dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini.

"Ia merupakan salah satu usaha yang dilakukan pihak Polis Daerah Ipoh dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan di sekitar Bandar raya Ipoh," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Zainal Abidin turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!