Wanita hamil 9 bulan maut dalam perjalanan pulang ke rumah
MELAKA - Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan maut selepas motosikal dibonceng bersama suaminya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Taming Sari di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 7.50 malam, mangsa, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, bersama anak kedua dalam kandungannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pekerja kedai serbaneka membonceng motosikal jenis Honda bersama suaminya, Muhammad Helmi Abdul Razak, 28, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Kota Laksamana.
Menurutnya, ketika di lokasi kejadian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora secara tiba-tiba keluar dari simpang Jalan Mawar dan membelok ke arah Pengkalan Rama.
"Kereta yang dipandu wanita berusia 41 tahun itu disyaki keluar simpang secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Pengkalan Rama menghala ke arah Hospital Melaka gagal mengelak.
"Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri terbabit terjatuh di atas jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Melaka mengalami cedera ringan, manakala pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 termasuk mengesan saksi yang melihat kejadian," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!