Mat rempit tayang motosikal 'ekzos perang' terima padah
AMPANG - Lima motosikal yang diubah suai menggunakan ekzos bising bagi tujuan aktiviti merempit disita dalam operasi polis di Bukit Ampang Saujana, di sini pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Nazruel Ekram Abu Saare berkata, tindakan itu diambil menerusi Op Samseng Jalanan bermula jam 1 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Menurutnya, seramai 13 individu dan 13 buah kenderaan diperiksa dalam Op Samseng Jalanan itu.
"Hasilnya polis mengeluarkan 29 saman atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
"Operasi sehingga jam 4 pagi itu turut menyita lima motosikal Yamaha 135LC, Yamaha Y15, Yamaha Lagenda, Yamaha R15 dan Yamaha R25 kerana pengubahsuaian struktur kenderaan dan ekzos," katanya pada Ahad.
Tambahnya, siataan diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.
Jelas beliau, tujuan utama operasi itu adalah bagi menguatkuasakan rondaan pencegahan bagi aktiviti rempit yang kerap berlaku terutamanya pada waktu awal pagi setiap hujung minggu.
"Lokasi operasi ini sering kali menjadi tumpuan golongan remaja bermotosikal berkumpul dalam erti kata lain ‘melepak’ dan ada segelintir dalam kalangan mereka gemar melakukan aksi-aksi berbahaya semasa menunggang motosikal.
"Aktiviti merempit adalah satu gejala tidak sihat dan tidak memberikan faedah yang baik kepada golongan remaja kerana mengundang bahaya dan kesan buruk," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, pihak polis menggesa ibu bapa memantau aktiviti anak-anak, seterusnya dapat menjamin keselamatan mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!