Tak boleh batal kelulusan pembalakan, elak disaman - Sanusi

Muhammad Sanusi (lima dari kanan) selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri di Dataran Tsunami pada Ahad.
Muhammad Sanusi (lima dari kanan) selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri di Dataran Tsunami pada Ahad.
A
A
A

KUALA MUDA - Kawasan pembalakan yang telah diberikan kelulusan oleh kerajaan negeri terdahulu tidak boleh sewenang-wenangnya dibatalkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bagi mengelak implikasi perundangan yang boleh menyebabkan kerajaan negeri disaman oleh syarikat konsesi.

Menurutnya, apa yang boleh dilakukan adalah rundingan bagi mencari ganti tapak lain yang kurang sensitif terhadap alam sekitar.

“Ketika ini masih terdapat projek pembalakan seluas 80,000 hektar yang diluluskan kerajaan terdahulu, kawasan tersebut sedang dan akan dilaksanakan yang dijangka mengambil masa 18 tahun lagi, kelulusan sejak tahun 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri di Dataran Tsunami di Kota Kuala Muda, di sini pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau tidak pernah meluluskan sebarang permit mahupun permohonan baharu kawasan pembalakan, sebaliknya kawasan diteroka pada ketika ini merupakan kelulusan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Kerajaan negeri beri komitmen untuk pulihara alam sekitar. Kawasan hutan yang diluluskan sebelum ini, saya sudah sarankan supaya mana-mana kawasan sensitif yang telah diluluskan dan dibuat bayaran dicari ganti kawasan lain yang kurang sensitif kepada alam sekitar.

“Kalau ada kawasan yang diluluskan dan menimbulkan isu alam sekitar atau pencemaran atau ganggu sumber air, perlu ganti kawasan lain yang kurang sensitif. Tak boleh batal kelulusan sebab ia libatkan perundangan, kita tak boleh buat apa,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi mengulas dakwaan satu permit pembalakan diluluskan di Hutan Simpan Gunung Bongsu melibatkan keluasan 500 hektar di kompartmen 15, 42 dan 43.

Artikel Berkaitan:

“Saya bukan nak salahkan pentadbiran dulu, mungkin ketika itu pertimbangan berkaitan alam sekitar kurang dititik beratkan berbanding masa kini, jadi sekarang perlu beri lebih perhatian.

“Yang di Gunung Bongsu itu (pembalakan) bukan kelulusan baharu. Tempat yang mereka ambil itu hutan tebal jadi hasilnya banyak dan lebih untung, sebab itu kawasan itu dipilih pada ketika itu,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri ada menerima permohonan baharu termasuk dari anak syarikat kerajaan negeri namun kebenaran tidak diberikan.

“Saya tak keluarkan permit baharu, cuma mahu selesaikan yang lama, kelulusan 80,000 hektar itu antaranya untuk bangunkan ladang hutan. Kena selesaikan tak boleh batal sebab sudah beri kelulusan, mereka sudah bayar dan tunggu giliran untuk tebang, itu semua diluluskan sebelum ini,” ujarnya.

Tegas Muhammad Sanusi, terdapat syarikat konsesi pembalakan yang menyaman kerajaan negeri atas pembatalan kelulusan kawasan pembalakan hingga menyebabkan negeri berkenaan perlu membayar ganti rugi puluhan juta.

“Di Kedah belum pernah lagi (kes saman) saya mahu elak perkara itu berlaku. Kuari terbuka pun kita tak benar selain hutan simpan. Buat masa ini kita hanya selesaikan kelulusan lama.

“Saya harap pengusaha dan pemegang konsesi sepakat bersama kita untuk pulihara alam sekitar dan bertimbang rasa dalam isu ini, harap dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.

Beliau berharap dasar kerajaan negeri untuk tidak meluluskan kawasan pembalakan baharu dikekalkan biarpun kerajaan bertukar pada masa akan datang.

“Harapan saya kerajaan (parti) mana pun tak langgar peraturan sedia ada, kena uruskan (selesai) tak boleh buat apa untuk elak tindakan perundangan. Untuk perkara yang merugikan, kita teliti kaedah terbaik untuk selesaikan,” jelasnya.

Mengulas mengenai bayaran karbon kredit dari kerajaan Persekutuan atas usaha Kedah mengekalkan kawasan hutan, katanya, kerajaan negeri masih menunggu mekanisme berkaitan dari kementerian terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!