Syed Saddiq kongsi jatuh bangun kerjaya politik dalam Buku Jalan Tegak

Syed Saddiq (empat dari kanan) merasmikan buku berjudul ‘Jalan Tegak’ terbitan Karangkraf diiringi Hussamuddin (empat dari kiri) ketika Majlis Pelancaran di PBAKL 2024 di WTC Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Syed Saddiq (empat dari kanan) merasmikan buku berjudul ‘Jalan Tegak’ terbitan Karangkraf diiringi Hussamuddin (empat dari kiri) ketika Majlis Pelancaran di PBAKL 2024 di WTC Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku ‘Jalan Tegak’ karya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan naskhah padat dengan penceritaan mengenai pengalaman beliau menjadi ahli politik Malaysia yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, karya berkenaan hanya menceritakan suasana politik negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya mengambil pendekatan untuk menulis buku ini kerana mahu berkongsi dengan lebih lanjut dan mendalam perihal ‘jatuh bangun’ sepanjang bergelar wakil rakyat.

“Walaupun saya aktif berkongsi cerita politik di media sosial, namun tidak semuanya boleh saya kongsikan. Bukan itu sahaja, saya berpandangan bahawa buku lebih sesuai untuk menceritakan kisah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media majlis pelancaran buku Jalan Tegak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bertempat di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Pelancaran berkenaan turut dihadiri Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf (GBK), Izzat Izhar Muhammad Nasir dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Tambahnya, naskhah terbitan GBK itu mengambil masa dua tahun untuk dikeluarkan secara rasmi.

Ketika ditanya mengenai kecaman yang diterima selepas buku itu diterbitkan, Syed Saddiq menjelaskan bahawa beliau tidak akan menjadi ahli politik jika takut dengan kata-kata yang tidak membina itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau masuk politik tetapi takut dengan kecaman, jangan masuk politik.

“Dalam proses penghasilan buku ini, memang ada yang tidak bersetuju dan saya akan menghormati ulasan mereka, namun ia tidak menghalang daripada berkongsi cerita,” ujar beliau.

Pada masa sama, bekas Menteri Belia dan Sukan berkongsi pemilihan tajuk buku Jalan Tegak dibuat berdasarkan pengalaman sebelum dan selepas menjadi ahli politik.

“Sebelum berkecimpung dalam dunia politik, saya berdepan dengan pelbagai cabaran dihadapi tetapi setiap kali diuji, saya sentiasa imbas kembali mengapa saya memilih jalan ini.

“Itu datang konsep Jalan Tegak, apabila diuji baru kita tahu karakter dan identiti seseorang. Apabila diuji baru kita tahu siapa kawan dan siapa lawan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!