Malaysia sokong seruan gencatan senjata, perjuang hak Palestin

Mohamed Khaled Foto Fail Bernama
Mohamed Khaled Foto Fail Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Malaysia menyambut baik dan menyokong sebarang cadangan yang akan membantu mencapai gencatan senjata segera dan kekal dalam konflik Israel-Gaza, termasuk cadangan tiga peringkat yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berucap pada sesi ketujuh Dialog Shangri-La (SLD), menteri itu berkata, Malaysia percaya bahawa rakyat Palestin mesti diberikan hak sepenuhnya untuk menentukan maruah dan nasib sendiri, kemerdekaan dan kedaulatan negara mereka, serta hak untuk kebebasan bergerak.

"Konflik ini telah mencabar hati nurani kita sebagai manusia dan menguji keberanian kita untuk menghadapi dan mengecam tindakan genosid.

Selaras dengan kewajipan di bawah Konvensyen Genosid, Israel mesti segera menghentikan serangan ketenteraannya dan tindakan lain di Rafah," katanya pada sesi yang bertemakan Re-Imagining Solutions for Regional Stability, pada Ahad.

Mohamed Khaled juga mencadangkan agar SLD, sidang kemuncak pertahanan utama Asia yang dihoskan oleh Singapura sejak 2002, menjemput wakil dari Palestin untuk turut menyertainya dan membangkitkan dialog yang membina.

Menyentuh mengenai ASEAN, menteri itu berkata, blok berkenaan telah berkembang berdasarkan dasar berkecuali dan akan terus kekal berkecuali pada masa hadapan.

"Kita tidak sepatutnya dipaksa untuk memihak dan tidak akan memihak. Walau bagaimanapun, pendirian Malaysia terhadap sebarang tindakan yang meningkatkan konflik di rantau ini kekal tidak berubah. Saya tegaskan bahawa menjadi tidak berpihak adalah cara terbaik sambil memperluaskan kerjasama pelbagai lapisan walaupun dengan pihak yang bertelagah," katanya.

Beliau berkata cabaran terhadap kestabilan serantau adalah disebabkan oleh teknologi yang semakin berkembang seperti penggunaan sistematik pesawat tanpa pemandu (UAV) yang telah disalahgunakan untuk menambah kerosakan dalam peperangan, serta pemanasan global dan kenaikan paras laut yang mengurangkan sumber negara-negara di dunia.

Artikel Berkaitan:

"Tidak jauh dari Malaysia, ketegangan di Laut China Selatan dan Selat Taiwan berpotensi mencetuskan konflik bersenjata," katanya.

Untuk mengatasi halangan ini demi kestabilan jangka panjang, Mohamed Khaled mencadangkan pandangan tiga-C -- Konstruktif, Komprehensif, dan Komplementari -- yang penting untuk kerjasama yang mampan antara ASEAN, rakan dialognya, dan negara-negara lain yang sehaluan.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata dialog konstruktif yang kerap antara negara adalah kritikal untuk merapatkan perbezaan kepentingan, mencari titik persamaan, dan mencari penyelesaian yang membawa manfaat.

"Pada tahun 2025 apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN, kita akan meneruskan tradisi menjadi pemimpin serantau dan mengekalkan pemusatan kita.

"Kami menyasarkan untuk menyediakan suasana yang kondusif bagi penyelesaian yang tertumpu pada 2025. Terutamanya mengenai isu-isu mendesak dan rundingan yang sedang berlangsung mengenai rantau kami," katanya.

Beliau berkata inisiatif kerjasama yang menyeluruh dalam pelbagai domain, terutamanya dalam pencemaran marin, bencana alam, lanun maritim, dan ancaman siber harus menjadi antara agenda utama negara.

Mohamed Khaled berkata bahawa mekanisme sedia ada yang diterajui ASEAN perlu terus diperkukuhkan, dan memandang melangkaui domain semasa adalah penting untuk melengkapkan dan menambah nilai kepada seni bina sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk meninggalkan pandangan ortodoks mengenai keselamatan dengan memperluaskan horizon kepada tema yang lebih luas.

"Ini termasuk pendidikan dan kepimpinan pertahanan, ketenteraan dan kesihatan awam serta kebajikan, ruang siber dan digital, teknologi alam sekitar dan keterjaminan makanan, serta pengurusan risiko bencana, yang semuanya tertanam dalam kepentingan yang bertumpu," katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata untuk mencapai kestabilan jangka panjang, kerjasama yang terjalin perlu bersifat komplementari melalui pelbagai lapisan dan platform serta pakatan keselamatan yang diwujudkan di rantau Asia Pasifik perlu melengkapi kapasiti dan keupayaan masing-masing.

Beliau berkata, kerjasama antara ASEAN dan pakatan kerjasama atau blok serantau lain, bukannya dengan negara individu, adalah wajar untuk diterokai.

Mohamed Khaled berada di Singapura sejak Khamis dan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Pertahanan Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FDMM) dan SLD.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan penyertaaan Menteri Pertahanan pada SLD membuktikan komitmen serta kepimpinan Malaysia dalam isu pertahanan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.

SLD2024 yang melabuhkan tirainya pada Ahad merupakan forum antarabangsa kedua yang dihadiri Mohamed Khaled secara bersemuka sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember 2023.

Beliau juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan rakan sejawatannya dari republik itu Dr Ng Eng Hen, di samping mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala bersama rakan sejawat dari negara-negara strategik dan berkepentingan kepada Malaysia antaranya Kanada, Australia, Maldives dan AS. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!