Perak berjaya noktah kemiskinan tegar tahun ini

A
A
A

GERIK - Kerajaan negeri Perak berjaya menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan 8,128 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi data yang dikunci sehingga 1 Februari 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan itu hasil keberkesanan program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menurutnya, melalui program tersebut, agensi pemberi bantuan dapat diselaraskan bagi memastikan tidak berlaku pertindihan.

"Kita mula lancarkan program ini di daerah Manjung dengan tujuan menyelaraskan agensi ini. Kalau dulu MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) ada cara dia, Felcra ada cara dia, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ada cara masing-masing.

"Ada yang kita bagi wang seperti orang uzur terlantar tapi ada yang kita sediakan peluang melalui agensi untuk mengembangkan perusahaan, perniagaan mahu pun bakat dia. Jadi kita salur kepada mereka untuk keluar dari kemiskinan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor.

Saarani berkata, program tersebut sudah dilaksanakan di daerah Manjung, Larut Matang dan Selama serta Hulu Perak.

Menurutnya, melihat kepada keberkesanan program itu, kerajaan negeri akan melaksanakannya di daerah-daerah lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Salbiah berkata, jumlah kemiskinan tegar seramai 8,128 KIR itu merupakan satu kejayaan apabila berjaya disifarkan untuk data terkini tahun ini.

"Tapi data kita dinamik, akan ada pertambahan jumlah kemiskinan dari semasa ke semasa. Tapi yang kita nak tekankan di sini, apa yang dibuat oleh ICU (Pejabat Pembangunan Negeri) dan kerajaan negeri kita gunakan data paling terkini tahun 2024.

"Jadi data yang kita gunakan itu kita kunci dan buat pemutihan dengan padanan pekerjaan, bantuan-bantuan berkaitan dan akhirnya kita berjaya keluarkan mereka dari garis kemiskinan tegar itu. Jadi kita akan ada data baharu dan proses ini berterusan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!