Agro Bank lancar Program Komuniti Cashless di Kundasang
AGRO Bank melancarkan Program Komuniti Cashless di Pentas Budaya, Kundasang untuk mendorong pertumbuhan teknologi digital dan menjadi pemacu ke arah transformasi ekonomi serta kewangan di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penggunaan transaksi dalam talian dan pembayaran melalui kod QR bertujuan mewujudkan ekonomi yang lebih mudah, telus serta inklusif.
Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.
“Agro Bank sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang memberi sumbangan dalam transformasi kepada komuniti tanpa tunai di Sabah.
“Program Komuniti Cashless ini membuktikan komitmen kami dalam meningkatkan akses kepada pembayaran digital sekali gus mewujudkan ekonomi yang lancar dan telus melalui pembayaran digital,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tengku Ahmad Badli memaklumkan bahawa Program Penjaja Cashless pernah diadakan pada Oktober tahun lalu di Pasar Malam Api-Api, Kota Kinabalu supaya menjadi perintis kepada inisiatif berkenaan.
Ujarnya, program itu juga dilancarkan di Pasar Tamu Sook, Keningau pada Februari lalu.
“Kami berharap inisiatif ini akan diluaskan ke kawasan di luar Sabah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan dan keselamatan transaksi digital,” tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!