Syed Saddiq takut bercinta ketika zaman sekolah

Syed Saddiq melancarkan Buku Jalan Tegak di PBAKL 2024 bertempat di WTCKL pada Ahad.
Syed Saddiq melancarkan Buku Jalan Tegak di PBAKL 2024 bertempat di WTCKL pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa beliau enggan menjalinkan hubungan percintaan sewaktu di bangku sekolah kerana tidak mahu diketahui ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.

Beliau berkata, ketakutan bermula apabila hubungan percintaan abangnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman diketahui Shariffah Mahani yang ketika itu merupakan seorang guru kaunseling sekolah.

“Ada satu cerita yang saya tidak akan lupakan. Saya dan Syed Abdullah bersekolah di sekolah yang sama dan pada ketika itu, ibu merupakan guru kaunseling.

“Ketika itu, abang bukan sahaja bercinta malah dia turut bertemu kekasih ketika waktu sekolah dan memberi wang sebanyak RM5 kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Buku Jalan Tegak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bertempat di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Pelancaran berkenaan turut dihadiri Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf (GBK), Izzat Izhar Muhammad Nasir dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberitahu, selepas Shariffah Mahani mengetahui hal berkenaan, dia mengambil pendekatan dengan memanggil Syed Abdullah dan kekasih untuk tampil ke hadapan ketika perhimpunan pagi sekolah.

“Sebenarnya ibu tahu lebih awal, namun enggan mendedahkannya. Sehinggalah suatu hari ketika perhimpunan pagi sekolah, ibu panggil abang dan wanita ke hadapan minta kembali wang RM5 yang diberikan itu.

Artikel Berkaitan:

“Ketika melihat kejadian itu, saya benar-benar menanam hasrat untuk tidak bertemu kekasih atau bercinta ketika di bangku sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut berkongsi cerita bahawa dia pernah panjat keluar pagar Maktab Tentera Diraja (RMC) kerana mahu belajar menjadi seorang pembahas terbaik.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan susulan kekangan waktu yang dibenarkan oleh pihak RMC untuk pelajar keluar.

Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu, panjat pagar sekolah turut dilakukan oleh rakan-rakannya yang lain.

“Kami panjat pagar bukan mahu berfoya-foya tetapi mahu mengikuti pertandingan perbahasan peringkat universiti.

“Walaupun kami masih sekolah menengah tetapi orang ingat kami pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana mengenakan uniform tentera,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!