Perak sedia bantu pelajar cemerlang di Mesir

Saarani. Laporan Sinar Harian.
Saarani. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GERIK - Kerajaan Perak sedia memberikan segala bentuk bantuan kepada seorang penuntut yang mencipta sejarah menjadi pelajar Malaysia pertama menamatkan pengajian dengan cemerlang di peringkat sarjana daripada Kuliah Ulum Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Kisah kejayaan Muhammad Asyraf Mohd Abdul Aziz, 29, yang dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam bidang hadis dengan pangkat Mumtaz mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan berbincang lanjut dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kerana pelajar tersebut mendapat tajaan daripada agensi tersebut.

"Kita akan bincangkan (mengenai dana pendidikan) dengan MAIPk sebab dia pelajar tajaan MAIPk. Insya-ALLAH kita akan tengok.

"Kita pun bersedia (memberi tajaan) kalau mana-mana orang yang memang menunjukkan kecemerlangan, kenapa tidak?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed.

Sinar Harian pada Sabtu menyiarkan kisah kejayaan Muhammad Asyraf yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang hadis dengan pangkat Mumtaz selepas terpaksa menangguhkan pengajian akibat kekangan kewangan.

Dia yang merupakan anak kelahiran Kampung Parit Abbas, Kuala Kurau itu turut menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya jika mempunyai dana yang mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Asyraf berjaya lulus munaqasyah atau viva di hadapan tiga panel iaitu Pensyarah Hadis dan Ulum Hadis, Ketua Usuluddin dan Mantan Wakil Dekan Fakulti Dirasat Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Prof Dr Subhi 'Abdul Fattah Sayyid Rabi'; Pensyarah Hadis dan Ulum Hadis Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Mantan Dekan Fakulti Usuluddin Bur Sa'id dan Dumyat, Prof Dr Muhammad Nasr ad-Dusuqi al-Labban serta Pensyarah Hadith dan Ulum Hadith, Wakil Dekan Fakulti Dirasat Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Prof Dr Nadi Abdullah Muhammad.

Sidang munaqasyah berkenaan berlangsung selama 3 jam 30 minit membahaskan tajuk tesis berkenaan yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Atase Pendidikan Negeri Perak; Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi; Atase Agama Jakim, Ameer Ikhwan Zaini serta rakan-rakan mahasiswa dari pelbagai negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!