Wanita hamil anak kembar, suami maut kemalangan
GUA MUSANG - Seorang wanita mengandung anak kembar dan suaminya maut selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas di Jalan Gua Musang - Lojing di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa, Ridwan Effendy Yusof, 43, merupakan seorang tentera dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, yang sarat hamil enam bulan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, dua anak kepada pasangan yang maut itu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, keluarga tersebut dikatakan dari arah Ipoh, Perak menghala ke Gua Musang.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Kia Rio yang dipandu tentera tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.
"Akibat pelanggaran tersebut, anggota tentera terbabit tercampak keluar dari kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, kedua-dua anak pasangan tersebut yang berusia 9 dan 15 tahun dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
"Mayat suami isteri itu dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat," ujar beliau.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian tersebut boleh menghubungi talian 012-4027283," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!