'Harimau juga perlu bercuti dan berenang'

Tungku Mahkota Ismail menerapkan konsep kekeluargaan yang menjadikan JDT sesuatu yang luar biasa. Foto FB Johor Southern Tigers
Tungku Mahkota Ismail menerapkan konsep kekeluargaan yang menjadikan JDT sesuatu yang luar biasa. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkongsi rahsia kejayaan skuad Harimau Selatan yang dibinakan lebih sedekad lalu.

Baginda yang juga pemangku Sultan Johor bertitah, JDT mempunyai misi dan visi yang telah diatur dengan jelas sejak awal kewujudannya.

"JDT selalu dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.

"Telunjuk lurus, kelingking berkait. Itu sudah menjadi lumrah dunia, apabila kita berada di atas, pasti akan ada 'tangan-tangan' mula mengait dan sentiasa ingin menarik semula ke bawah.

"Asasnya bermula dari tahun 2013 lagi dan sehingga ke hari ini JDT telah melalui pelbagai pengalaman," titah baginda menerusi catatan di laman Facebook pada Ahad.

Tunku Mahkota Ismail adalah antara sosok individu yang bertanggungjawab dalam menerapkan konsep kekeluargaan dan elemen ini ternyata telah menjadikan 'Keluarga JDT' sebagai sesuatu yang amat luar biasa.

Melalui JDT, baginda juga berjaya menterjemahkan perpaduan antara kaum dalam negeri Johor dan telah bertitah bahawa tiada perbezaan kasta, agama, status, dan reputasi dalam menyokong bola sepak.

Bagi baginda, semua individu perlu bersama-sama untuk bersatu dalam menyokong dan memberikan sepenuh kepercayaan tanpa sebarang keraguan kepada organisasi.

Artikel Berkaitan:

“Kadangkala sesetengah orang lemah ingin menyakitkan anda tetapi apabila anda bertindak, mereka berlakon seolah-olah anda menyakiti mereka.

"Walau apa pun, sentiasa kekal positif kerana kadangkala harimau juga perlu bercuti dan berenang,” titah baginda.

Tatkala organisasi ini bergelumang dengan pelbagai tohmahan dan kejian, ujian sebenar kepada penyokong JDT adalah kesetiaan dan tahap pemikiran.

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," titah Tunku Mahkota Ismail.

Selagi penyokong bersatu padu dan bersama-sama bersorak, baginda optimis pelbagai perkara boleh dicapai pada masa hadapan.

"Usahlah kita berpecah belah dan biarkan minda dipermainkan oleh anasir-anasir luar yang mahu merobohkan empayar ini," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!