325 penghuni sayu rumah panjang terbakar
BINTULU - Kebakaran meranapkan kegembiraan sambutan perayaan Hari Gawai bagi 325 penghuni sebuah rumah panjang di Nanga Sigu, Pandan, Sebauh, kira-kira 147 kilometer dari sini, pada Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Rumah Ugop Umpin sepanjang 43 pintu yang terletak di kawasan pedalaman telah terbakar seratus peratus.
Menurutnya, panggilan kebakaran diterima jam 12.41 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah digerakan ke lokasi.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) dibuka untuk mengambil maklumat setiap penghuni rumah panjang tersebut. Mangsa-mangsa dicadangkan untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kuala Sigu yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari lokasi kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggaran kerugian dan punca kepakaran masih dalam siasatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!