Seekor lagi beruang matahari ditangkap
TANAH MERAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Ahad menangkap seekor lagi beruang matahari jantan sekali gus melegakan penduduk di Kampung Air Asahan Hulu di sini.
Sebelum itu, pada 28 Mei lalu Perhilitan Kelantan berjaya menangkap seekor beruang matahari betina di kawasan yang sama.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pada Rabu lalu Pejabat Perhilitan Daerah Jeli telah menerima aduan mengenai kehadiran seekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kebun penduduk.
"Kami telah ke sana dan memasang satu unit perangkap di lokasi terbabit.
"Setelah lima hari, haiwan liar tersebut telah memasuki perangkap," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dengan kejayaan tangkapan itu ia sedikit sebanyak melegakan penduduk setempat.
Ujarnya, tangkapan terbabit juga dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan hasil pertanian dan harta benda akibat konflik haiwan tersebut.
Mohamad Hafid memberitahu, beruang matahari jantan ini adalah tangkapan kedua di lokasi yang sama.
"Operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan liar itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!