Suami isteri maut menanti sembilan tahun kelahiran anak kembar
GUA MUSANG - Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalang Gua Musang - Lojing di sini pagi Ahad, teruja dan tidak sabar menanti kelahiran anak kembar selepas sembilan tahun menunggu.
Kakak sulung mangsa, Suhaily Khairudin, 49, berkata, usia kandungan arwah adiknya, Suhana Khairudin, 37, kini telah masuk enam bulan dan dijangka bersalin September ini.
Menurutnya, Suhana baru sahaja selesai menjalani prosedur memindahkan air ketuban untuk seorang daripada bayi kembarnya di dalam kandungan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
"Dia (Suhana) mendapat kebenaran untuk pulang kira-kira petang semalam, jadi mereka bertolak dari Ipoh dan bercadang menyewa hotel di Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini pada Ahad.
Sementara itu, ibu saudara Suhana iaitu Hakiah Nor, 61, pula berkata, mangsa memaklumkan mereka hanya berehat di dalam kereta kerana kesemua hotel di tempat peranginan itu sudah penuh ditempah, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kota Bharu pagi ini.
"Sebelum itu, saya ada mencadangkan mereka agar ke Kuala Lumpur terlebih dahulu dan menggunakan Lebuhraya Karak, namun mereka menolak dan ingin meneruskan perjalanan melalui Jalan Lojing,” katanya.
Dalam kemalangan pukul 9.35 pagi itu, seorang anggota tentera Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya Suhana maut di lokasi kejadian akibat tercampak keluar dari kenderaan, manakala dua anak mereka cedera dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Ridwan Effendy dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelah kiri lalu merempuh tembok longkang di tepi jalan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!