Ahli perniagaan wanita, Tomasdottir menang Pilihan Raya Presiden Iceland

Tomasdottir (tengah) memenangi Pilihan Raya Presiden di Iceland. Foto AFP
Tomasdottir (tengah) memenangi Pilihan Raya Presiden di Iceland. Foto AFP
A
A
A

LONDON - Usahawan dan pelabur, Halla Tomasdottir memenangi Pilihan Raya Presiden di Iceland, menewaskan bekas Perdana Menteri Katrin Jakobsdottir, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik penyiar milik negara RUV.

Tomasdottir memperoleh 32.8 peratus undi berbanding Jakobsdottir, yang mendapat sokongan 25.7 peratus undi, manakala pakar alam sekitar Halla Hrund Logadottir berada di tempat ketiga dengan 14.6 peratus, kata RUV pada awal pagi Ahad.

Jakobsdottir, yang juga Ketua Parti Pergerakan Hijau-Kiri yang mengetuai kerajaan campuran parti berhaluan kiri dan kanan sejak 2017, mengucapkan tahniah kepada Tomasdottir.

"Ya, saya mengucapkan tahniah kepadanya dan tahu dia akan menjadi presiden yang baik," katanya kepada RUV apabila keputusan awal diumumkan.

Jakobsdottir pada April mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai perdana menteri untuk bertanding jawatan presiden.

Penyandang jawatan itu yang sangat popular, Gudni Johannesson memegang jawatan itu sejak 2016 dan dipilih semula pada 2020 dengan 92 peratus undi, tidak bertanding lagi selepas dua penggal memegang jawatan berkenaan. - Bernama-Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!