Lebih 100,000 baucar buku ditebus dalam tempoh tiga hari
KUALA LUMPUR - Lebih 100,000 baucar buku telah ditebus setakat hari ini iaitu dalam tempoh tiga hari penebusan dibuka bermula 31 Mei lepas, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, ini melibatkan penebusan 56,466 baucar buku bagi peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan murid tahun empat dan ke atas serta pelajar sekolah menengah, manakala baki 50,000 di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Setakat ini (lebih) 122,000 judul buku telah dibeli yang melibatkan (nilai) pembelian sehingga lebih RM600,000.
"... ini menunjukkan baucar tersebut menjadi pemangkin kepada minat (membaca) dan ramai ibu bapa mengambil kesempatan untuk memastikan bahawa anak mereka mendapat manfaat daripada baucar itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di sini pada Ahad.
Inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi bawah KPM dan KPT itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan.
Pada 30 Mei lepas, perdana menteri mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institut Pendidikan Guru.
Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember ini.
Ditanya perancangan meneruskan pemberian baucar buku itu pada tahun depan, Fadhlina berkata, pihaknya akan meneliti sambutan tahun ini dan kos yang terlibat bagi pelaksanaannya.
"Pastinya ini antara inisiatif yang baik untuk terus meningkatkan minat rakyat Malaysia kepada membaca dan budaya ilmu, saya tidak fikir ini satu inisiatif yang patut dihentikan tetapi perlu dilihat bagaimana kita boleh terus mempertingkatkan (pemberian) baucar ini.
"Ini khususnya untuk memastikan bukan sahaja aspek pembacaan progresif tetapi juga menggunakan sepenuhnya sentuhan digital dan teknologi serta aplikasi sedia ada dengan memperkukuhkan pelantar aplikasi DELIMa KPM,” katanya.
Penganjuran PBAKL kali ke-41 pada tahun ini memecah rekod jumlah pengunjung dengan1.8 juta orang berbanding 1.6 juta orang pada tahun lepas dan lebih 70 peratus pengunjung adalah golongan muda.
PBAKL 2024 yang diadakan bermula 24 Mei hingga hari ini menampilkan 972 reruai dengan 241 pempamer termasuk 14 pempamer dari luar negara antaranya Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!