Waktu solat Subuh di Terengganu ditambah lapan minit bermula Sabtu
KUALA TERENGGANU - Waktu solat Subuh di Terengganu ditambah kepada lapan minit daripada waktu sedia ada berkuat kuasa Sabtu ini.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat yang diadakan pada 14 dan 20 Januari lalu.
Menurutnya, perubahan itu tertakluk kerana jadual waktu Subuh akan menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk berbanding 20 darjah sebelum ini.
"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali ke-10 Penggal Ke-13 yang bersidang pada 18 Jamadil Awal 1441H (14 Januari 2020) dan Mesyuarat Jawatankuasa Takwim Hijri Dan Waktu Solat 1442H/2020M bagi Terengganu kali pertama yang bersidang pada 24 Jamadil Awal 1441H (20 Januari 2020) bersetuju bahawa waktu solat Subuh di Terengganu ditambah lapan minit daripada waktu sedia ada.
"Ia berkuat kuasa mulai 25 Januari 2020 (Sabtu) bersamaan 29 Jamadil Awal 1441H," katanya menerusi satu kenyataan rasmi semalam.
Katanya, perubahan itu tidak tertakluk kepada waktu solat fardu yang lain.
"Waktu solat fardu yang lain tidak berubah serta solat Subuh yang telah dilaksanakan sebelum perubahan ini adalah sah dan tidak perlu diqada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!