Kisah 'dua dapur', plot licik Abang Joe yang terbongkar
SUATU hari, Merak Jalanan berkenalan secara tak sengaja dengan seorang lelaki separuh umur. Dia berceritakan tentang kisah hidupnya dihalau isteri pertama dan kedua selepas penipuan tentang ‘dua dapurnya’ terbongkar.
Sebagai menghormati usianya yang lebih senior, Merak Jalanan panggil lelaki ini sebagai Abang Joe.
“Dua dapur tu apa, bang?” soal Merak Jalanan ringkas.
“Dua isterilah... tapi dua-dua isteri abang baru tahu malam tadi. Teruk abang kena belasah dengan mereka, sampai kena halau. Sekarang abang tiada tempat hendak tuju.
“Bayangkan, lima tahun abang simpan rahsia ini elok-elok, tapi terbongkar sebab abang lupa padam sejarah perbualan di WhatsApp,” katanya mengeluh.
Hebat Abang Joe ni, lima tahun menipu dua isteri.
Merak Jalanan tanya bagaimana skil dia menipu kedua-dua isterinya.
Abang Joe dengan bangga bercerita, setiap hari dia merancang plot, skrip dan jalan cerita yang logik untuk disampaikan kepada isteri-isterinya secara konsisten.
“Ada sekali abang nyaris tertangkap dengan isteri pertama bila dia jumpa bil barang dapur terselit di kocek seluar abang, tapi barangnya tidak ada,” ceritanya lagi.
Sambung Abang Joe, kejayaan lima tahun dalam plot licik konspirasi perkahwinan juga atas bantuan rakan sepejabat.
“Kawan itulah yang berperanan untuk cover abang daripada bos, isteri-isteri dan rakan sepejabat yang lain,” katanya.
Merak Jalanan ingat cerita skil menipu dua isteri hanya sekadar di filem, rupanya benar-benar berlaku dan masih wujud pada zaman moden ini.
Merak Jalanan percaya, Abang Joe akan terus bergelut masalah jika terus bergelumang dengan penipuan dalam rumah tangga.
Semoga kisah Abang Joe ini menjadi tauladan kepada kita. Teringat sebaris lirik lagu Madu Tiga nyanyian P Ramlee, “Kalau dua-dua merajuk, ana kahwin tiga...”
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!