Suami isteri rugi RM300,000 gara-gara lot lidi
SHAH ALAM - Sepasang suami isteri yang sudah bersara mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila menjadi mangsa penipuan penjualan tanah lot lidi di Jenjarom, Kuala Langat.
Anak kepada pasangan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Anis, 36, berkata, ibu bapanya membuat pembelian tanah pada tahun 2018 selepas penjual menjanjikan proses pemilikan yang cepat, mudah dan teratur.
Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, pembelian tersebut dilakukan oleh ayahnya dengan menggunakan hasil jualan rumah serta sebahagian simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Selepas pencen ayah ada beritahu kami dia mahu jual rumah di Klang kerana ingin beli tanah dan bina rumah baharu tetapi tidak pula berbincang dengan kami.
“Kami adik-beradik hanya tahu mengenai perkara tersebut selepas dia memaklumkannya,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, mereka terkejut kerana proses pembelian tanah tersebut begitu singkat, hanya mengambil masa sekitar dua minggu.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak mempersoalkan hal terbabit kerana menghormati keputusan ayahnya yang mahu membina rumah di atas tanah sendiri.
“Selepas proses pembelian selesai pada tahun 2018, ayah terus upah kontraktor untuk membina rumah dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang siap sepenuhnya sebelum siap 2020.
“Namun, pada November tahun lalu kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran pemilik tanah sebenar yang memaklumkan bahawa rumah ini dibina atas tanah miliknya,” ujarnya.
Susulan itu, Anis berkata, mereka sekeluarga akur dengan kenyataan tersebut, sekali gus membenarkan pemilik tanah untuk merobohkan rumah berkenaan.
“Kami telah membuat laporan polis dan berharap ayah dapat menuntut kembali haknya walaupun agak sukar kerana tiada perjanjian sah yang mengatakan jual beli berkenaan ini benar,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!