Boleh dapat balik tanah, wang
SHAH ALAM - Mangsa penipuan masih berpeluang untuk mendapatkan kembali hartanah dan wang mereka melalui tuntutan di mahkamah sivil, kata peguam Muhammad Akram Abdul Aziz.
Beliau berkata, dengan adanya perkembangan terbaharu dalam undang-undang di negara ini hartanah atau transaksi yang dibuat masih boleh diselamatkan namun prosesnya mungkin mengambil masa tertentu.
Menurutnya, mangsa boleh memfailkan tuntutan dengan proses dijangka mengambil masa antara sembilan bulan ke setahun untuk mendapatkan keputusan mahkamah.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak termasuk proses rayuan memandangkan undang-undang di Malaysia membolehkan pihak yang kalah membuat rayuan.
“Ia bergantung sama ada tuntutan itu kompleks atau tidak. Peluang untuk mendapatkan kembali harta mereka itu juga bergantung kepada fakta dan situasi kes.
“Apa yang penting ialah apabila menjadi tuan tanah, beban bukti adalah pada mereka untuk buktikan di mahkamah. Kalau fakta tak konsisten dan lengkap, ada kemungkinan juga boleh kalah,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebanyak 489 kes penipuan tanah dilaporkan dengan nilai kerugian hampir RM300 juta sejak 2021 hingga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula sebanyak 74 kes dicatatkan membabitkan nilai kerugian RM60.6 juta.
Tambah Muhammad Akram, kelemahan yang paling ketara dalam kalangan rakyat Malaysia adalah apabila ada yang mengambil sikap mudah dalam banyak perkara.
“Kadangkala mereka gunakan khidmat peguam yang disarankan oleh sebelah pihak untuk jimatkan kos tapi mereka tak tahu adakah peguam itu akan jaga hak kita atau tak.
“Kedua, perkara asas yang penjual atau pembeli kadangkala tak buat ialah carian di pejabat tanah untuk melihat rekod tanah sebelum memuktamadkan urusan jual beli,” katanya.
Jelasnya, jika pelantikan dilakukan dengan betul peguam akan menasihatkan mereka mengikut proses yang perlu dilakukan.
“Memang ia akan mengambil masa sedikit tapi sekurang-kurangnya daripada segi dokumentasi, butiran maklumat pihak terlibat dengan tanah, semuanya lengkap.
“Di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Perak dan Selangor, sistem pendaftarannya sudah diperbaharui kepada sistem dalam talian yang mana dokumentasinya menjadi lebih baik,” tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!