UMNO tekad pastikan kemenangan calon PH di PRK Sungai Bakap
SUNGAI BAKAP - UMNO Nibong Tebal menyatakan komitmen untuk menyokong siapa sahaja calon yang akan ditampilkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan diadakan tidak lama lagi.
Malah Ketua Bahagiannya, Rashidi Zinol berkata, jentera UMNO dengan kekuatan lebih 5,000 ahlinya di Sungai Bakap akan bergandingan dengan semua jentera gabungan PH di negeri ini untuk memastikan kerusi Sungai Bakap berjaya dirampas daripada Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, sekiranya semua pihak memainkan peranan dan bekerja keras untuk meraih kembali sokongan pengundi terutamanya di kalangan Melayu, tidak mustahil kerusi Sungai Bakap yang dimenangi PN dengan majoriti 1,563 undi akan ditawan oleh calon PH pada PRK nanti.
"Kalau tengok daripada teori memang PH dengan kerjasama UMNO mampu merampas kerusi Sungai Bakap nanti namun semua akan berhasil dari kerja kuat.
"Bagi kita, UMNO akan buat sebaik mungkin untuk menarik semula sokongan pengundi agar memilih calon yang sealiran dengan pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan supaya rakyat akan menerima pelbagai manfaat nanti berbanding dari menjadi kawasan pembangkang," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad,
Beliau ditemui selepas majlis perjumpaan UMNO Cawangan Sungai Bakap bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di Sungai Kechil di sini, pada Ahad.
Perjumpaan yang berlangsung lebih dua jam itu diadakan bagi memberi penerangan kepada pimpinan UMNO cawangan mengenai kerjasama dan gerak kerja yang akan dilakukan pada PRK Sungai Bakap nanti.
Malah dalam pertemuan itu, kesemua 16 pemimpin cawangan diberi penjelasan mengenai kesepakatan yang telah dicapai di peringkat Pusat mengenai calon PH dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding pada PRK berkenaan.
Mengulas mengenai desakan yang disuarakan pemimpin akar umbi yang mahukan UMNO diberi laluan untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap nanti, Rashidi berkata ia adalah perkara biasa dalam sanubari pempimpin dalam mengeluarkan pandangan masing-masing namun perkara itu tidak menjejaskan kerjasama antara UMNO dengan PH selepas penjelasan diberikan.
"Selepas maklumat terperinci diberikan kepada pimpinan dan akar umbi, akhirnya segala isu yang berbangkit dapat diselesaikan dan mereka faham dengan pendirian yang telah dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah bersetuju dan akan menyokong calon PH nanti.
"Memang sepatutnya dalam jemaah kita perlu mengikut imam dan itu prinsip kita yang sering saya ingatkan kepada ahli, jadi UMNO Nibong Tebal kita akan ikut apa yang telah ditetapkan oleh presiden dan pengerusi perhubungan negeri untuk pastikan kemenangan calon PH pada PRK tidak lama lagi," katanya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan ada gesaan pimpinan akar umbi UMNO yang mahukan PH memberi peluang kepada UMNO untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap.
Menurut sumber, UMNO di Sungai Bakap masih mendapat sokongan pengundi khusus orang Melayu dan mampu menarik balik sokongan khususnya pengundi atas pagar serta golongan muda.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!