Pengarah urusan rugi lebih setengah juta diperdaya 'Inspektor Lee'

Sindiket bijak mengambil peluang demi memerangkap mangsa supaya terjebak.
Sindiket bijak mengambil peluang demi memerangkap mangsa supaya terjebak.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta kerugian RM520,000 selepas diperdaya dengan sindiket 'phone scam' atau penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis pada awal Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu telah mnerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari sebuah kontinjen di sebelah utara negara.

"Suspek memaklumkan, pihak polis telah menemui kad ATM atas nama mangsa dalam sebuah serbuan yang dijalankan seterusnya mendakwa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

"Panggilan kemudiannya disambungkan individu lain yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Lee Kha Seng' yang menawarkan bantuan dengan cara memindahkan wang mangsa ke akaun sementara bagi mengelakkan akaun disekat dan wang disita," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Kumar, mangsa percaya dengan panggilan tersebut dari pihak polis kerana nama dan nombor kad pengenalan dibacakan 'Inspektor Lee', tepat.

"Selain itu, mangsa turut menerima surat melalui aplikasi WhatsApp dengan kepala surat mahkamah yang menyatakan akan mengambil tindakan penyiasatan, penangkapan dan pembekuan terhadap aset pengadu.

"Mangsa kemudiannya telah mengikut arahan yang diberikan dengan membuat pindahan wang ke akaun bank yang diarahkan berjumlah RM520,000," ujarnya.

Tambahnya lagi, mangsa menyedari telah ditipu setelah dirinya terus didesak untuk membuat pindahan wang yang seterusnya walaupun sejumlah wang dalam jumlah besar telah dipindahkan sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis pada Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!