PRK Sungai Bakap: Pas Pulau Pinang sudah ada senarai pendek calon

Pas Pulau Pinang sudah mempunyai senarai pendek calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.Gambar hiasan
Pas Pulau Pinang sudah mempunyai senarai pendek calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang sudah mempunyai senarai pendek calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, senarai nama itu belum dimuktamadkan sepenuhnya dan pihaknya masih membuka ruang kepada semua pihak untuk memberi pandangan termasuk di peringkat akar umbi.

Menurutnya, senarai pendek nama calon berpotensi tersebut akan diserahkan kepada pucuk pimpinan Pusat dalam masa terdekat untuk diputuskan.

"Senarai pendek dah ada namun belum serah kepada Pusat. Kita masih buka ruang untuk pelbagai pihak memberi cadangan seperti daripada Dewan (Pemuda dan Muslimat) dan Pas Kawasan.

"Walaupun senarai yang berpotensi sudah ada, kita kena buat beberapa kajian sebelum menyerahkannya kepada pimpinan Pusat. Ini untuk memastikan calon yang akan dipilih oleh Pusat nanti boleh menang bagi Pas mempertahankan kerusi Sungai Bakap," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Jelas Muhammad Fauzi, banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi sebelum pemilihan calon dibuat.

"Kita kaji banyak sudut antaranya personaliti calon itu sendiri sebab itu kita mengambil sedikit masa untuk memuktamadkan senarai nama calon.

"Mungkin kita akan serahkan (senarai nama) sebelum 6 Jun ini, tetapi tak tentu lagi lah. Yang pasti sebelum penamaan calon, kita sudah muktamadkan calon yang paling sesuai untuk bertanding," tambah beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhammad Fauzi menyatakan Pas Pulau Pinang akan memberi peluang kepada akar umbi untuk memberi cadangan calon yang bakal bertanding dalam PRK Sungai Bakap kelak.

Kata Muhammad Fauzi, calon anak tempatan akan diletakkan di kerusi DUN berkenaan berikutan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, kawasan itu ditandingi Pas dan meraih kemenangan.

Tambah beliau, isu calon bukan hanya perlu dibincangkan dalam parti semata-mata sebaliknya perlu dibincangkan bersama pimpinan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Kerusi Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!