Ibu hidup derita, dijadikan hamba abdi anak sendiri
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pada saat warga emas lain berehat menghabiskan sisa usia, seorang wanita berdepan mimpi ngeri apabila diperlakukan seperti hamba abdi oleh anaknya sendiri.
Wanita berusia 64 tahun itu, yang tinggal di Perling di sini tidak pernah terbayangkan hidupnya menderita pada usia emas akibat perbuatan anak keduanya yang menagih dadah.
Ibu kepada 12 anak itu yang sebelum ini bekerja membersihkan rumah dan menjual nasi lemak membayangkan hidupnya seperti di 'neraka dunia' selama enam bulan tinggal dengan anaknya itu yang berusia 30-an dan merupakan bekas banduan.
"Pelbagai penderitaan terpaksa saya lalui, bayangkan wang hasil titik peluh bekerja sebelum ini dirampas anak saya untuk mendapatkan bekalan dadah malah hampir setiap hari dia mengugut dan mengasari saya.
"Kalau tidak ikut kemahuannya, dia akan larang saya masuk rumah dan membiarkan saya berjemur bawah matahari. Saya terpaksa ikut katanya demi keselamatan diri dan cucu lelaki, 14, yang juga anak kandungnya," katanya ketika ditemui.
Bercerita lanjut, dia berkata, anaknya itu sudah lama berpisah dengan isteri dan anak sulung pasangan itu iaitu perempuan, 13, kini di bawah jagaan bekas isteri manakala yang lelaki dijaganya sejak kecil lagi.
Wanita itu berkata, anak lelakinya sebelum ini tidak tinggal bersamanya, namun apabila suaminya jatuh sakit dia kembali ke pangkuan keluarga.
Menurutnya, anaknya itu mula buat masalah selepas suaminya meninggal dunia pada November 2022 apabila mula menjual barang elektrik di rumah seperti peti sejuk, televisyen, penapis air, ketuhar gelombang mikro dan kipas angin menerusi Facebook bagi mendapatkan wang membeli dadah.
Ujarnya lagi, dia berasa lebih tertekan apabila anaknya itu semakin hilang pertimbangan apabila bertindak mengasarinya dengan menolaknya dari belakang hingga terjatuh selain mengancam keselamatannya.
"Dia semakin melampau apabila membunuh kucing kami. Malah dia juga menyatakan kami juga akan menerima nasib yang sama kalau tidak ikut kehendaknya," katanya.
Bimbang dengan keselamatan, dia membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai dan juga kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini sebelum anaknya itu diberkas dan dibawa ke pusat pemulihan di Selangor.
"Ini pertama kali dia ke pusat pemulihan. Sebelum ini dia pernah menjalani hukuman penjara beberapa kali. Apa yang membimbangkan dia akan dibenarkan pulang selepas tamat tempoh pemulihan dan kembali ke rumah," katanya.
Berikutan itu katanya, dia meninggalkan rumah di Pulai dan sekarang menyewa bilik di Perling bagi melarikan diri serta mengelak daripada dikesan anaknya itu.
Ujar wanita itu lagi, dia kini tidak dapat bekerja kerana mengalami masalah anemia dan bergantung sepenuhnya dengan pencen suami yang merupakan bekas pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya memiliki ramai anak namun lima anak diserahkan kepada kenalan dan saudara-mara sejak kecil atas faktor kesempitan hidup. Saya tidak mahu membebani anak dan lebih gemar mengurus diri serta cucu di bilik sewa.
"Sewa bulanan bilik ini adalah RM450 dan atas faktor kewangan, cucu lelaki saya tidak bersekolah sejak Mei tahun lalu dan ini juga menjadi kebimbangan saya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Ibu hidup derita, dijadikan hamba abdi anak sendiri #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Keluarga #Ibu #WargaEmas #HambaAbdi #Dadah
Sad Music - Max-Music
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!