‘Tolong ambil makcik Zainab’
TAMBUN - Seorang warga emas memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat bagi membantunya menikmati kehidupan yang lebih baik kerana sudah tidak berupaya menguruskan dirinya apabila sering ditemui berkeliaran di luar rumah dalam keadaan berbau hancing di Kampung Cik Zainal Tambahan 1 di sini.
Zainab Abu Hassan, 68, yang mengalami masalah pendengaran cuma tinggal bersama dua anak lelakinya, Azahari Abdul Aziz, 44 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam dan seorang lagi anak lelakinya yang pekak dan bisu.
Cukup memilukan jika melihat keadaan warga emas tersebut, apabila dia ditemui dalam keadaan berbau kerana tidak mandi di atas kerusi roda sambil berkeliaran di sekitar rumahnya.
Ketua Wanita Penggerak Muafakat Nasional Tambun, Azizah Abd Hamid berkata, warga emas itu yang bergerak menggunakan kerusi roda sering ditemui berkeliaran berhampiran rumahnya setelah ditinggalkan sendirian oleh anak-anaknya.
"Dia selalu keluar sendirian hingga kerusi rodanya pernah tersangkut dalam semak mengakibatkan dia jatuh tertonggeng dalam semak itu. Mujurlah disedari oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan lalu di situ. Tidak tahu berapa lama, dia dalam keadaan begitu," katanya.
Di samping itu, Zainab selalu mengadu sakit kaki, pinggul dan perutnya lalu sering meminta orang ramai untuk membelikan dia ubat dan minyak angin kerana tidak tahan dengan rasa sakit dialaminya.
"Anaknya pernah menolak kerusi roda sejauh 20 kilometer untuk ke Klinik Kesihatan Tanah Hitam bagi mendapatkan ubat untuk makcik Zainab.
"Apakan daya, anak lelakinya juga tidak terurus. Mereka keluar rumah seawal 3 pagi dan biarkan ibu mereka tidur di sofa luar rumah sehingga mereka pulang lewat petang.
"Makan tidak tentu. Jika ada rezeki, penduduk kampung akan bagi makanan. Ni kita dapat lihat sebuku roti dan tin sardin di atas meja mungkin untuk dimakan oleh ibu mereka," katanya.
Meskipun dua anak lelakinya begitu, Azizah berkata, mereka sangat menyayangi ibu mereka sehinggakan berasa takut untuk menerima kehadiran pelawat ke rumah mereka.
"Mereka bimbang kalau ada sesiapa yang mengacau ibu mereka tetapi mereka sendiri tidak tahu untuk menjaga ibu mereka.
"Dengan tidak mandi, pakaian tidak berganti serta bau hancing di sekeliling rumah. Tidak sanggup nak lihat keadaannya begitu,” katanya.
Katanya, dia berharap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera bertindak dengan memberi perlindungan sewajarnya kepada warga emas itu.
“Kebimbangan kami berasas berikutan salah seorang anaknya suka membawa pulang sampah dan membakarnya berhampiran rumah. Kita bimbang tindakannya itu boleh menyebabkan rumah mereka yang terbakar.
“Dua beradik ini ada menerima bantuan bulanan daripada JKM namun, kami berharap sangat agar nasib mak cik Zainab lebih terbela,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!