Kerajaan Kedah digesa henti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu

Penduduk bersolidariti menggesa kerajaan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu pada Ahad.
Penduduk bersolidariti menggesa kerajaan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu pada Ahad.
A
A
A

KULIM - Kerajaan negeri digesa untuk menghentikan segera aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, khususnya di kompartmen 15, 42, dan 43.

Ketua Cabang Keadilan Kulim Bandar Baharu, Teh Lean Ong berkata, pimpinan kerajaan negeri perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjamin.

Katanya, Hutan Simpan Gunung Bongsu bukan sahaja penting dari segi ekologi, tetapi juga sebagai sumber mata pencarian dan kesejahteraan bagi ribuan penduduk kampung yang tinggal berhampiran.

"Kawasan pembalakan yang diluluskan itu dipercayai melibatkan 500 hektar tanah iaitu dianggarkan saiz yang sama besar dengan pembalakan yang berlaku di Iboi, Baling, yang telah menyebabkan bencana alam yang teruk di daerah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, bencana di Iboi, berlaku tidak jauh dari lokasi pembalakan iaitu sekitar empat kilometer (km) dan telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap harta benda, ekosistem, dan nyawa penduduk setempat.

"Kini, dengan jarak hanya lebih kurang tiga km dari kawasan pembalakan yang baru diluluskan di Hutan Simpan Gunung Bongsu, kebimbangan penduduk sekitar semakin memuncak sekiranya berlaku tragedi sama," katanya.

Lean Ong berkata, kawasan itu juga dikelilingi penempatan kampung serta sebuah tempat pelancongan popular, iaitu Air Terjun Air Putih.

Artikel Berkaitan:

"Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan pada tahun 2021 turut diragui.

"Laporan tersebut dipercayai tidak mengambil kira sepenuhnya kesan terhadap komuniti sekeliling yang padat dengan penduduk. Keraguan ini menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan keadilan dalam proses kelulusan pembalakan tersebut," ujarnya.

Jelasnya, pihak berkuasa perlu mengkaji semula laporan EIA tersebut dan mengambil kira pandangan serta kebimbangan penduduk setempat.

"Kami amat bimbang akan risiko bencana alam yang boleh berlaku, seperti yang telah kami saksikan di Iboi.

"Penduduk setempat dan aktivis alam sekitar kini merancang untuk menyerahkan rayuan rasmi kepada Jabatan Alam Sekitar dalam masa terdekat, dengan harapan bahawa aktiviti pembalakan ini dapat dihentikan segera demi melindungi alam sekitar dan keselamatan komuniti sekeliling," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!