Tenaga luar biasa Melly Goeslaw

Walaupun sudah berumur 50 tahun, tenaga yang ditunjukkan Melly sepanjang dua jam konsert berlangsung, tidak sepadan usianya.
Walaupun sudah berumur 50 tahun, tenaga yang ditunjukkan Melly sepanjang dua jam konsert berlangsung, tidak sepadan usianya.
A
A
A

BIARPUN baharu tampil menerusi konsert Ada Apa Dengan Melly (Back To School) pada Februari 2023, ia tidak menghalang 9, 000 peminat berkumpul di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lalu bagi menyaksikan Ada Apa Dengan Melly & Friends By Iman Tang Malam Graduasi.

Bahkan penyanyi yang mendapat julukan Ratu Runut Bunyi Filem itu tampil dengan tenaga luar biasa dan menyampaikan 24 buah lagu termasuk sebuah lagu tambahan.

Konsert yang menyaksikan suaminya, Anto Hoes sebagai pengarah muzik, turut diiringi Malaysian Group Orchestra.

Melly memukau peminat di Axiata Arena dengan lagu hit ciptaannya seperti Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, Pecinta Wanita, Berdua Lebih Baik, Suara Hati Seorang Kekasih, Sampai Menutup Mata, Bimbang dan Ayat-ayat Cinta.

Kemunculan Joe Flizzow menggamatkan suasana di Axiata Arena.
Kemunculan Joe Flizzow menggamatkan suasana di Axiata Arena.

Tidak lupa sesekali menyapa peminat, Melly mengambil sedikit masa menukar busana kedua sebelum kembali menghiburkan peminat dengan seleksi lagu hitnya, Gantung, Jangan Pernah Berubah, My Heart, sebelum membuat kejutan kehadiran Joe Flizzow bagi berduet lagu Jika dengan elemen rap.

Kehangat konsert diteruskan dengan persembahan lagu Biarlah Rahsia, Menghitung Hari dan Atas Nama Cinta yang disampaikan secara medley. Tidak lama kemudian, Melly sekali lagi membuat kejutan dengan kemunculan Puteri Ariani, berduet menyampaikan lagu Cinta.

Saling mengagumi... Paduan suara Melly dan Putri Ariani bikin bulu roma meremang. Foto Bangsawan Pictures
Saling mengagumi... Paduan suara Melly dan Putri Ariani bikin bulu roma meremang. Foto Bangsawan Pictures

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin berterima kasih kepada Putri dan sebab itu saya berikan kepercayaan kepadanya membawakan lagu yang bagiku adalah magma dalam perjalanan karier sebagai pencipta lagu," katanya sambil beredar memberi pentas kepada Putri Ariani membawa lagu Cinta Sejati serta Kamu dan Kenangan.

Sepanjang konsert itu, tidak ada ruang untuk peminat berasa bosan lantaran penyanyi berusia 50 tahun itu begitu bersahaja di atas pentas sambil berdansa mengikut rentak muzik.

Menyedari peminat masih belum puas berhibur, Melly tidak menunggu lama untuk membakar adrenalin peminat dengan seleksi lagu Hey Ladies, Hanya Memuji, Lets Dance Together, Salah, Bagaikan Langit, I Just Wanna Say I Love You dan Kubahagia.

Lebih hangat, ketika lagu Bagaikan Langit didendangkan, beratus bola dijatuhkan menjadikan zon Pendidikan Jasmani gamat dengan aksi melambung bola ke udara.

Bukan itu sahaja, pihak penganjur turut mengambil kesempatan mengumumkan konsert seterus Melly iaitu Ada Apa Dengan Melly: Prom Night, yang dijangka berlangsung pada 31 Mei 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!