4 gajah ditemukan mati dari kumpulan Bandar Tenggara - Nik Nazmi
PUTRAJAYA - Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, habitat utama empat ekor gajah yang ditemukan mati baru-baru ini dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk.
Beliau berkata, laporan awal telah mengenal pasti bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang ditemukan itu, adalah dari kumpulan Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan, Hutan Simpan Labir, Hutan Simpan Sembrong di Johor dan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.
"Ingin saya tekankan di sini bahawa habitat dan kawasan keliaran gajah adalah penting untuk menampung keperluan populasi gajah kerana kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah untuk aktiviti pertanian, perladangan, penempatan, perbandaran serta pembangunan infrastruktur mengakibatkan konflik manusia dan gajah.
"Konflik manusia dan gajah boleh mengakibatkan kemusnahan tanaman pertanian, kerosakan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Pada Sabtu lepas, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian empat ekor gajah yang ditemukan mati di kebun buah-buahan di Kahang Timur, Kluang.
Nik Nazmi berkata, semua pihak perlu menyalurkan maklumat kepada Perhilitan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu dengan menghubungi talian Perhilitan di Hotline 1-800-88-5151.
"Siasatan lanjut sedang dilaksanakan dan Perhilitan juga sedang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di sekitar kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Perhilitan, sebanyak 646 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan di Johor bagi tempoh 2020 hingga Mei 2024 dengan 292 aduan melibatkan daerah Kluang.
Menurut Nik Nazmi, berdasarkan kepada data semasa, anggaran populasi gajah di Johor ialah antara 120 dan 160 ekor.
Gajah merupakan satu daripada spesies hidupan liar ikonik negara dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya.
Nik Nazmi berkata, kerajaan sentiasa proaktif dalam memelihara dan memulihara habitat hidupan liar termasuk gajah melalui beberapa inisiatif antaranya membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030, menubuhkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Lanchang, Pahang dan mempergiatkan usaha mewartakan kawasan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!