Jabatan Pendidikan Pahang siasat komen guru berhubung undi bukan Islam

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan aduan berhubung komen menyinggung perasaan yang didakwa dilakukan oleh seorang guru di Pahang kini dalam siasatan.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Pahang dan unit integriti kementerian sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang telah dibuktikan melanggar peraturan tatatertib berdasar kepada peruntukan yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Facebook mengulas laporan akhbar tentang Selangor mula menumpukan pengajaran kepada kitab Turath.

Ia merupakan kitab-kitab tradisional yang berisi pelajaran-pelajaran agama Islam oleh ulama silam.

Susulan itu, pengguna berkenaan meninggalkan komen sinis yang menyatakan tidak guna seseorang itu mempelajari pelbagai kitab agama jika akhirnya mengundi bukan Islam.

Berhubung isu sama, Setiausaha Politik Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menerima aduan mengenai komen menyinggung perasaan itu.

Menurut Atiqah, dapatan awal mendapati guru berkenaan masih mengajar dan memegang jawatan signifikan di sebuah sekolah di Pahang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah membuat siasatan awal dan bersedia untuk tindakan lanjut sejurus pembukaan penggal persekolahan Selasa ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengingatkan guru bahawa penjawat awam wajib mematuhi peruntukan ditetapkan termasuk ketika menggunakan media sosial.

“Media sosial perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berdasar kepada garis panduan nilai dan etika yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!