Penoreh getah juara Pertandingan Moh Tangkap Baung Merah
LIPIS - Penoreh getah muncul juara Pertandingan Moh Tangkap Baung Merah Daerah Lipis selepas berjaya menaikkan ikan baung merah seberat 20.6 kilogram di Sungai Jelai pada Jumaat sekali gus meraih hadiah wang tunai RM2,000.
Abdul Jalil Mohmad, 55, dari Kampung Kuala Serau dekat Kuala Medang di sini memberitahu, dia menggunakan kaedah tajur dengan umpan anak ikan keli.
#Setakat ini, ia adalah berat paling tertinggi pernah saya dapat dan ikutkan ada penduduk pernah dapat hingga 28 kilogram," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar bapa kepada empat cahaya mata itu, dia menggunakan pengalaman sebagai kaki pancing sejak remaja untuk menaikkan ikan berkenaan.
Dia yang mengalu-alukan pertandingan berkenaan berkata, kehadiran ikan asing itu memberikan kesan kepada ikan sungai tempatan.
Jelasnya, ikan pemangsa itu menjejaskan kehadiran spesies tempatan kerana sifatnya yang agresif dan memakan pelbagai hidupan dalam air termasuk anak ikan dan udang.
"Program ini perlu kerap dilakukan tak semestinya menawarkan hadiah mahal kerana kaki pancing seperti kami memang menyokong penganjurannya supaya ikan asing ini tidak menjejaskan ikan tempatan.
"Baung kuning, lampam antara ikan yang sukar didapati sekarang sejak kehadiran ikan baung ekor merah," dakwanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, seramai 50 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan sempena Karnival Tanah Pahang anjuran Jabatan Perikanan Pahang pada Sabtu.
"Pertandingan ini dijalankan selama tempoh 24 jam dan sebanyak 120 kilogram keseluruhan ikan baung ekor merah berjaya ditangkap.
Jelas beliau, pertandingan itu yang mendapat sokongan kerajaan negeri dengan tujuan bersama program kesedaran untuk menghapuskan ikan tersebut yang mengganggu ekosistem perairan negara.
Ikan baung ekor merah adalah spesies berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan boleh dikenali dengan warna merah pada ekornya manakala dari segi bentuk, warna dan hampir sama dengan baung tempatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!