Penduduk Sri Makmur wajar dapat perhatian, pampasan - Khir Toyo

Tangkap layar laporan Sinar Harian mengenai penduduk yang masih tinggal di dalam khemah di Kampung Sri Makmur pada Ahad.
Tangkap layar laporan Sinar Harian mengenai penduduk yang masih tinggal di dalam khemah di Kampung Sri Makmur pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Sembilan penduduk yang mendakwa mereka penduduk asal Kampung Sri Makmur wajar mendapat perhatian kerajaan negeri dan pampasan daripada pihak pemaju.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, pihak terlibat sepatutnya menghalang dan tidak membenarkan penduduk mendirikan rumah di kawasan itu sebelum ini.

Dr Mohamad Khir Toyo
Dr Mohamad Khir Toyo

"Kena bagi mereka pampasan sebabnya rumah itu mereka bina. Salah kerajaan negeri kerana benarkan mereka bina rumah dan kalau kita tidak benar kenapa tidak runtuhkan dari awal.

"Selepas 10 tahun duduk sana, baharu hendak runtuh, itu sebab masalah ini timbul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin mengulas mengenai isu melibatkan penduduk Kampung Sri Makmur di sini.

Sebelum ini, media melaporkan hanya 21 keluarga mendapat tawaran pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan cek pampasan sebanyak RM1,000.

Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak, Isnin lalu perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar turut memaklumkan bahawa banyak peluang telah diberikan kepada penduduk kampung berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A Rahim Kasdi seperti dilaporkan media pula memaklumkan, sembilan penduduk yang mendakwa mereka penduduk asal Kampung Sri Makmur gagal membuktikan mereka telah menetap di kampung berkenaan sejak tahun 2006.

Bagaimanapun Rahim berkata, pihaknya sedia berbincang dengan penduduk yang kehilangan tempat tinggal untuk rancangan petempatan semula susulan perobohan dan pengusiran penduduk Kampung Sri Makmur namun bagaimana caranya belum diputuskan.

Menurut Rahim, kerajaan negeri terikat dengan perjanjian antara pemaju dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membayar pampasan kepada penduduk asal sahaja.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Khir mengulangi pendiriannya berkata, sekiranya tanah terbabit milik kerajaan atau pihak pemaju, mereka perlu menjaga hartanah daripada diceroboh mana-mana pihak.

"Sebabnya kalau tanah itu tanah kerajaan, atau sesiapa pun, pemilik tanah kena jaga tanah dia.

Kenapa orang itu bina rumah 10 tahun (lamanya) kita biarkan, kalau peringkat awal kita (boleh) halang.

"Kena fikirkan kos (bina) rumah (penduduk terbabit) kita tengoklah berapa, rumah kena bayar. Pemilik hartanah boleh dipersalahkan kerana mereka membenarkan orang duduk di situ," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!