Pintu kaca dilastik, stesen minyak dipecah masuk

Keadaan stesen minyak selepas cermin pintu premis dipecahkan menggunakan lastik di Pekan Sook.
Keadaan stesen minyak selepas cermin pintu premis dipecahkan menggunakan lastik di Pekan Sook.
A
A
A

KENINGAU - Sebuah stesen minyak dipecah masuk selepas cermin pintu kaca premis tersebut dilastik sehingga pecah dalam kejadian di Pekan Sook di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pemilik premis mengalami kerugian kira-kira RM4,600 termasuk wang tunai dan barang jualan di stesen minyak tersebut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.46 pagi Isnin.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira jam 5.30 pagi oleh salah seorang pekerja yang datang ke stesen minyak untuk memulakan operasi perniagaan.

Stesen minyak di Pekan Sook dipecah masuk tiga suspek pada tengah malam tadi.
Stesen minyak di Pekan Sook dipecah masuk tiga suspek pada tengah malam tadi.

"Hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat tiga suspek yang terlibat. Salah seorang daripadanya bertindak melastik pintu kaca hadapan kedai sehingga pecah.

"Dua suspek kemudian telah masuk ke dalam kedai dan mencuri barang di dalam sementara seorang lagi bertindak sebagai pemandu menunggu di luar premis," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Katanya lagi, hasil semakan pada CCTV juga mendapati suspek yang dirakam berbadan kurus, memakai jaket dan berseluar panjang selain menggunakan pelitup muka serta sarung tangan.

Artikel Berkaitan:

"Wajah kesemua suspek tidak kelihatan kerana menggunakan pelitup muka. Kenderaan yang digunakan Perodua Bezza namun hasil semakan lanjut nombor pendaftaran adalah palsu.

"Senjata yang digunakan suspek adalah lastik dan besi kuku kambing. Hasil pemeriksaan juga barang yang hilang melibatkan wang tunai sebanyak RM1,200, rokok jualan dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Sehubungan itu, Yampil berkata, usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!