JPJ periksa terminal, pastikan bas ekspres selamat digunakan
KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memeriksa tujuh depoh dan tiga terminal bas ekspres di negeri ini dalam usaha memastikan keselamatan pengangkutan awam itu untuk digunakan orang ramai sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.
Pengarahnya, Muhammad Abdullah berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati apabila tiada sebarang kesalahan dikesan melibatkan aspek keselamatan bas hasil pemeriksaan pihaknya ketika Pra Ops Tahun Baru Cina 2020 yang dijalankan 11 hingga 17 Januari lalu.
Menurutnya, pemeriksaan depoh di Kuantan,Temerloh dan Jengka itu mendapati pengusaha dan pemandu bas patuh kepada peraturan ditetapkan dengan memastikan bas masing-masing selamat untuk beroperasi.
"Pemeriksaan di Terminal Sentral Kuantan (TSK),Terminal Temerloh dan Genting juga mendapati semua bas yang diperiksa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan bagi membawa penumpang.
"Pemeriksaan fokus kepada brek, tayar, lampu, lampu isyarat, log perjalanan dan sijil pemeriksaan Puspakom," katanya ketika sidang media selepas Ops Khas Motosikal sempena Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 di Jalan Teluk Sisek di sini, malam tadi.
Muhammad berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas pemilik dan pemandu bas bagi memastikan mereka bebas saman tertunggak.
Katanya, sepanjang Pra Ops Tahun Baru Cina 2020 yang dilaksanakan sebelum ini, sebanyak 1,206 kenderaan diperiksa melibatkan 355 kereta dan 256 motosikal serta lain-lain kenderaan dengan 397 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Mengulas berhubung Ops Khas Motosikal bersepadu malam tadi, Muhammad berkata, operasi dilaksanakan serentak di empat lokasi iaitu di Jalan Teluk Sisek di sini, Kilometer (KM) 105, Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, KM3,Jalan Raub-Bentong dan Jalan Pekeliling, bandar Mentakab.
"Bagi operasi di Kuantan ini, operasi disertai 212 anggota dari pelbagai agensi termasuk JPJ (151 anggota), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) (21), polis (12 anggota) Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) (7), Jabatan Imigresen (16) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (5).
"Sebanyak 380 kenderaan diperiksa termasuk 128 kereta, 252 motosikal dan tiga lori dengan 129 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala dua motosikal disita," katanya.
Beliau berkata, kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh mencatatkan kes tertinggi masing-masing 20 dan 22 kes.
"Pada operasi ini, Jabatan Imigresen Pahang melakukan tangkapan ke atas lima warga asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala AADK memeriksa tujuh individu dan seorang berjaya ditahan kerana positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.
Muhammad berkata, JKJR dalam kempen keselamatannya turut mengagihkan 48 pelekat Vehicle Enhancement Material (VEM) bagi motosikal dan mengganti 6 buah topi keledar.
Beliau berkata, seramai 352 anggota JPJ ditugaskan sepanjang Operasi Penguatkuasaan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 yang bermula 18 Januari hingga 2 Februari depan yang turut melibatkan anggota penguat kuasa beruniform dari semua bahagian.
"Sasaran utama adalah melipatgandakan penguatkuasaan di semua laluan utama termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bagi mengelak kemalangan dan kesesakan, menurunkan statistik kematian penunggang motosikal, dan sasaran sifar kemalangan sera kematian di lebuh raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!