'Hanya laluan Tanah Rata ke Kea Farm sering sesak' - Polis
CAMERON HIGHLANDS - Hanya laluan dari Tanah Rata ke Kea Farm di sini yang sering mengalami kesesakan teruk akibat kebanjiran pelancong semasa musim cuti sekolah atau cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, laluan Tapah ke lokasi peranginan itu tidak mengalami kesesakan teruk.
Menurutnya, situasi kesesakan di Cameron Highlands terjadi disebabkan peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 160 peratus dalam tempoh tertentu menyebabkan kesesakan di Cameron Highlands namun maksimum kesesakan dalam tempoh tiga jam sahaja.
"Namun berdasarkan daripada TikTok terbabit dan laporan akhbar tempatan bertarikh 2 Jun (Ahad) menunjukkan bahawa individu tersebut terlibat dalam kesesakan dari Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara di mana kesesakan itu berlaku.
"Berdasarkan laporan akhbar itu, perjalanan selama 14 jam bukan sahaja melibatkan kawasan Cameron Highlands tetapi juga melibatkan kesesakan di lebuh raya terbabit ke lokasi peranginan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, Ibu Pejabat Daerah Cameron Highlands memohon kerjasama dari semua pihak agar tidak membuat sebarang penyebaran mesej atau spekulasi yang tidak benar.
"Orang ramai juga perlu sentiasa memastikan kesahihan sesuatu sebelum dikongsi di laman sosial atau sebagainya," tambah beliau lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!